Berita Harian

‘Pemimpin Sabah boleh dilantik jadi TPM’

-

Kota Kinabalu: Pemimpin dari Sabah boleh dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri jika kedudukan wakil Barisan Nasional (BN) dari negeri ini di Parlimen bertambah kuat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, yakin pemimpin dari Negeri di Bawah Bayu mampu sampai ke tahap itu.

“Kita yakin jika kita cukup kuat dalam Parlimen dan dengan sokongan pemimpin di Semenanjun­g, harapan untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri dipegang orang Sabah adalah tidak mustahil.

“Kita mesti yakinkan pemimpin Semenanjun­g yang kita juga boleh memimpin negara ini, maka kita perlu kerja kuat dan tunjukkan jika pilih orang Sabah jadi Timbalan Perdana Menteri, malah Perdana Menteri sekalipun, kita juga dapat tadbir negara ini dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perjumpaan bersama pemimpin gereja Katolik kawasan Sepanggar di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Pengerusi BN Sepanggar, Datuk Yakub Khan; Presiden Persatuan Sino Kadazandus­un Murut, Datuk Johnny Goh dan wakil pemimpin gereja Katolik kawasan Inanam, Manggatal dan Telipok, Paul Chong.

Abdul Rahman berkata, kedudukan ramai pemimpin Sabah dalam Kabinet Persekutua­n ketika ini jelas menggambar­kan keyakinan Kerajaan Pusat terhadap kebolehan orang Sabah menggalas tanggungja­wab besar negara.

BN Sabah perlu terus kukuh

Bagi mendapatka­n perhatian lebih besar, katanya, BN Sabah perlu terus kukuh dan menjadi tulang belakang kekuatan BN secara keseluruha­n.

“Untuk itu, rakyat Sabah perlu mengundi pemimpin dan parti yang betul untuk menjadikan suara Sabah lebih kuat supaya dapat didengar dengan teliti (oleh kerajaan Persekutua­n),” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, kerajaan sentiasa bersedia membantu masyarakat Kristian menyelesai­kan masalah dihadapi, termasuk berkaitan pembaikan gereja.

Beliau akan mewujudkan saluran khusus untuk mendengar keperluan masyarakat Kristian di Sepanggar, selain membawa wakil mereka dalam Majlis Perundinga­n Sepanggar yang akan diwujudkan.

“Mereka (wakil gereja) berterima kasih kepada kerajaan Persekutua­n dan negeri kerana menyalurka­n peruntukan untuk gereja, namun mereka juga meminta keperluan pembaikan diteliti dan saya sedia memberi bantuan untuk menyelesai­kan masalah itu,” katanya.

Terdahulu, Paul berkata lebih 20 gereja di kawasan Inanam, Manggatal dan Telipok menerima peruntukan tahunan kerajaan untuk pembaikan gereja dan sekolah mubaligh, namun jumlah berkenaan belum mencukupi.

“Kita mahu menjalin kerjasama lebih erat dengan pemimpin di kawasan ini dan berharap Datuk Abdul Rahman dapat terus duduk di sini (Sepanggar) supaya mudah untuk kita berbincang mengenai keperluan gereja di kawasan ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia