Berita Harian

Kaum Cina perlu pilih parti boleh jamin masa depan

TPM minta pengundi usah terpedaya janji pembangkan­g

- Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pengundi Cina perlu memilih parti yang boleh menjamin masa depan mereka dalam aspek ekonomi, pendidikan dan keselamata­n.

Timbalan Perdana Menteri berkata mereka tidak boleh lagi terpedaya dengan janji pembangkan­g yang gagal dilaksanak­an, sebaliknya membuat pilihan tepat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, hasil lawatan beliau di beberapa lokasi penempatan masyarakat Cina serta bertemu tokoh dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati ratarata masyarakat itu sudah menerima Barisan Nasional (BN) selepas kurang keyakinan dengan pembangkan­g.

“Cukuplah, pengundi Cina jangan terjebak lagi dengan janji pembangkan­g, tengoklah janji mereka semula. Cakap nak bagi air percuma tapi tak dapat pun.. cakap harga air tidak naik tapi naik juga, di Selangor sampai ada yang tidak mandi kerana krisis ketiadaan bekalan air.

Beri peluang pemimpin Cina dari BN

“Berilah pula peluang kepada pemimpin Cina dari BN untuk menunjukka­n kemampuan mereka membantu masyarakat Cina dan saya yakin pengundi Cina sudah mula berubah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi penduduk Kampung Bagan Pasir Laut, di Dewan Terbuka Kampung Bagan Pasir Laut, di sini, semalam.

Yang hadir sama, Pengerusi MCA Perak yang juga EXCO Kerajaan negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Pada majlis itu, sebanyak 136 rumah di Kampung Bagan Pasir memperoleh lesen pendudukan sementara (TOL) selepas Kerajaan Perak meluluskan pengambila­n balik tanah membabitka­n kawasan seluas 14.7 hektar milik Ghadaf Marble Sdn Bhd pada 7 Februari lalu.

Sokong BN

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam sidang medianya berkata, pengundi Cina sudah mula sedar dan mengakui kesilapan pada PRU-2008 dan PRU-2013 dan akan kembali memberi sokongan kepada BN.

“Dahulu mereka terjebak atas suntikan kebencian pembangkan­g terhadap BN dan kini sudah melihat perjuangan kami (BN) sama dengan apa yang mereka inginkan dan akan kembali bersama BN,” katanya.

 ?? [FOTO ABDULLAH YUSOF/BH] ?? Ahmad Zahid menyerahka­n Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Kampung Bagan Pasir Laut kepada Tan Kim Hua, (tiga dari kanan) di Bagan Datuk, semalam.
[FOTO ABDULLAH YUSOF/BH] Ahmad Zahid menyerahka­n Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Kampung Bagan Pasir Laut kepada Tan Kim Hua, (tiga dari kanan) di Bagan Datuk, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia