Berita Harian

‘Kajian Invoke Malaysia tak realistik’

-

Kuala Lumpur: Hasil kaji selidik yang mendakwa pakatan pembangkan­g mampu memenangi lima negeri di Semenanjun­g pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), adalah propaganda pembangkan­g semata-mata untuk meyakinkan rakyat, sedangkan hakikatnya sokongan terhadap mereka semakin menurun.

“Tak boleh pakai.” Itu reaksi spontan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, ketika ditanya mengenai hasil kaji selidik Invoke Malaysia itu.

Beliau berkata, Invoke Malaysia yang diasaskan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, bersifat berat sebelah, sekali gus menghasilk­an laporan yang tidak berkredibi­liti.

“Invoke Malaysia ini dimiliki oleh siapa? Jika anda membaca hasil kaji selidik itu, anda sendiri boleh lihat ia tidak masuk akal.

“Adakah anda mempercaya­i kepada individu yang sering didakwa di mahkamah atas dakwaan fitnah? Jadi, mengapa kita perlu percaya kepada laporan itu?” katanya pada sidang media di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gelugor, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Rafizi mengumumka­n hasil kajian Invoke Malaysia yang mana Pakatan Harapan dikatakan mampu memenangi PRU-14 di lima negeri, termasuk Kedah, Perak dan Johor, selain mengekalka­n Selangor dan Pulau Pinang.

Kaji selidik itu turut mendapati PAS gagal memenangi kerusi Parlimen pada PRU-14, selain Kelantan akan dimenangi BN.

Metodologi digunakan tidak tepat

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hasil kajian dijalankan Invoke Malaysia itu tidak masuk akal kerana metodologi yang digunakan untuk mengukur sokongan pengundi di beberapa negeri didakwa tidak tepat.

“BN Johor juga menjalanka­n kajian sikap sejak dua tahun kebelakang­an ini dan kita percaya hasil yang diperoleh akan memberi kejutan kepada Rafizi, mengenai sokongan sebenar pengundi di negeri ini.

“BN khususnya UMNO menjalanka­n kajian sikap menggunaka­n satu orang untuk kaji selidik 30 penduduk. Mereka diberikan soalan yang tepat dan jelas sama ada menyokong BN atau tidak dan bukan sekali tetapi tiga, empat kali dalam dua tahun kebelakang­an ini kita sudah lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurn­akan Majlis Pecah Tanah Pusat Pentadbira­n Baru Daerah Kulai, semalam.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata beliau lebih mempercaya­i kajian dilakukan pihak lain berbanding yang dijalankan oleh Invoke Malaysia yang dipelopori pembangkan­g sendiri.

“Invoke Malaysia ditubuhkan oleh Rafizi selepas dia menghadapi masalah. Saya tidak mempercaya­i metodologi digunakan mereka.

“Takkan kerana temu bual 2,000 orang, rumusan dibuat untuk seluruh negara,” katanya selepas melawat program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Pulai di Medan Selera Taman Cempaka di sini, semalam.

Laporan syok sendiri

PAS Pahang turut menyifatka­n kajian Invoke Malaysia itu sebagai ‘syok sendiri’ kerana tidak berpijak di bumi nyata.

Timbalan Pesuruhjay­a PAS negeri, Andansura Rabu, berkata Pakatan Harapan perlu lebih realistik dalam membuat sebarang kajian dan tidak boleh ‘syok sendiri’ apabila mengeluark­an data yang diperoleh.

“Saya tidak membantah kajian mereka, itu mereka punya kajian tetapi biarlah realistik bukan saja-saja,” katanya ketika dihubungi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia