Berita Harian

Peniaga lega dapat air selepas dua hari terpaksa tutup kedai

-

Cheras: Selepas dua hari terpaksa menutup perniagaan masing-masing kerana gangguan bekalan air, peniaga sekitar Bandar Seri Permaisuri di sini, mengakui sedikit lega apabila mula menerima kemudahan itu sejak malam kelmarin.

Walaupun tekanan air tidak kuat seperti biasa, sekurang-kurangnya mereka kini dapat kembali menjalanka­n perniagaan seperti biasa.

Ini kerana, ketika gangguan dialami, ramai peniaga terpaksa tutup perniagaan masing-masing kerana ketiadaan air membantut pelbagai urusan mereka.

Peniaga masakan panas, Wan Zurina Wan Sulaiman, berkata dia terpaksa tutup kedai selama dua hari kerana perniagaan­nya memerlukan banyak air.

“Saya baru buka kedai hari ini. Mujur pagi ini sudah ada air tetapi tekanan agak perlahan, tidak seperti selalu.

“Namun saya berasa sedikit lega kerana dapat memulakan perniagaan seperti biasa hari ini. Gerai saya beroperasi pada pagi dan petang saja, jadi waktu tengah hari dapatlah saya membersihk­an apa yang patut,” katanya.

Terjejas kali kedua

Wan Zurina berkata, gangguan bekalan air yang dialami sehingga terpaksa menutup perniagaan ini adalah yang kedua, selepas kejadian pertama dua tahun lalu.

Peniaga roti canai, Rozlan Mohd, yang bergantung rezeki secara berniaga di situ, mengakui terputus sumber pendapatan selama dua hari gangguan bekalan air dialami.

“Bila berniaga, dapatlah pendapatan kira-kira RM80 sehari, tetapi apabila tidak dapat berniaga kerana tiada bekalan air, terputusla­h pendapatan.

“Hari ini saya lega kerana air sudah mula ada sejak malam tadi, dapatlah berniaga seperti biasa,” katanya.

Rozlan berkata, sepanjang tempoh gangguan, mereka yang mahu berniaga terpaksa mengangkut bekalan air daripada tempat lain menggunaka­n tong besar ke gerai masingmasi­ng.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia