Berita Harian

Guru jadi nelayan sambilan tambah pendapatan

-

Marang: Selain mengajar sebagai kerjaya sepenuh masa, sebahagian guru di daerah ini memilih laut sebagai medan mencari rezeki tambahan dan mengisi masa lapang pada waktu cuti.

Malah, ada mampu mengaut pendapatan sampingan yang agak lumayan sebagai nelayan separuh masa setiap kali turun ke laut.

Guru Penolong Kanan (Kokurikulu­m) Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu, Marzuki Musa, 52, berkata, beliau pernah mendengar guru yang jadi nelayan separuh masa mendapat hasil mencecah ribuan ringgit sebelum dibahagika­n sesama mereka.

“Malah ada yang beritahu duit gaji sebagai cikgu langsung tak terusik, tetapi tak tahulah pula jika dia berseloroh atau serius. Apa yang penting, tak ganggu kerja utama sebagai guru,” katanya.

Aktif turun ke laut

Marzuki antara guru yang aktif ke laut pada hari cuti sama ada untuk menangkap ikan atau mencandat sotong.

Katanya, paling sedikit beliau mampu memperoleh RM200 manakala paling tinggi RM2,000 setiap kali turun ke laut.

“Paling banyak dapat ketika mencandat sotong. Bagaimanap­un, saya bukanlah terlalu mengejar wang sebaliknya memang minat sejak kecil.

“Malah, setiap kali ke laut dengan menumpang rakan nelayan, saya serahkan lebih separuh pendapatan yang diperoleh kepada mereka,” katanya di Kampung Merchang di sini, semalam.

Marzuki berkata, berbeza dengan nelayan tradisiona­l, kebanyakan guru lebih gemar menggunaka­n kail dan bubu berbanding pukat.

Mohd Ariff Othman, 44, dari Kampung Gong Balai, di sini, menjadi nelayan separuh masa mengajarny­a lebih berdisipli­n, tekun dan sabar ketika mengajar.

“Pengalaman ke laut secara tidak langsung amat berguna untuk saya amalkan ketika mengajar di sekolah,” kata guru Matematik di Sekolah Kebangsaan Pulau Kerengga di sini.

Beliau mempunyai sebuah bot gentian kaca dan mula aktif ke laut sejak beberapa tahun lalu.

“Jika diikutkan, sejak kecil saya sudah biasa dengan laut mengikut ayah dan abang yang jadi nelayan.

“Tetapi sekarang lebih kerap kerana ada bot sendiri dan rumah juga berdekatan dengan laut,” katanya.

 ?? [FOTO MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK/BH] ?? Mohd Ariff (kiri) bersama Marzuki meluangkan masa membersih enjin bot miliknya di Pantai Merchang, Marang.
[FOTO MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK/BH] Mohd Ariff (kiri) bersama Marzuki meluangkan masa membersih enjin bot miliknya di Pantai Merchang, Marang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia