Berita Harian

Ilmu tauhid, fizik perkukuh iman

-

Awal agama adalah mengenal Tuhan dan untuk mengenal Allah SWT ialah dengan mempelajar­i ilmu tauhid yang sepatutnya menjadi kewajipan serta keutamaan kepada umat Islam di samping mendalami pelbagai ilmu lain.

Mudir Pondok Ihya’ Ulumiddin, Ahmad Ridaudin, berkata untuk mengenali Allah SWT, wajib tahu sifatnya, ketuhanann­ya dan perkara yang membawa kita mengenal-nya seperti yang terkandung dalam kitab Faridah Al-faraid karya ulama terkenal, Syeikh Ahmad Muhamad Zin al- Fathani.

Beliau berkata, usaha mengajak umat Islam mendalami ilmu tauhid perlu diberi penekanan kerana hanya selepas seseorang itu mengenal Allah SWT, maka akidah mereka tidak akan goyang, sebaliknya semakin yakin kepada Allah SWT.

Katanya mendalami ilmu tauhid atau akidah perlu berguru kerana jika dipelajari sendiri dibimbangi boleh tersesat disebabkan salah faham, terutama terhadap istilah yang digunakan dalam kitab tauhid lama.

“Seperti kitab Faridah Al-faraid ini biasanya memakan masa dua hingga empat tahun untuk dipelajari. Jadi, perlu ambil ilmu ini daripada guru kerana jika tidak tahu, erti istilah digunakan akan lari makna dan menimbulka­n salah faham.

“Namun, berbanding dengan kitab tauhid lain, Faridah Al-faraid lebih mudah difahami, tidak terlalu payah,” katanya ketika ditemui pada Daurah Kitab Faridah Faraid dan Bicara Ilmu Tauhid dan Fizik di Kompleks Islam Tuanku Muhriz Universiti Islam Sains Malaysia (USIM) di Nilai, baru-baru ini.

Ubah persepsi

Program anjuran Pusat Pengajian Teras USIM itu turut menampilka­n Ketua Program Fizik Gunaan USIM, Dr Mohd Azman Hashim @Ismail yang membicarak­an mengenai kaitan fizik dan tauhid.

Ahmad berkata, cabaran dalam pengajian ilmu tauhid ialah bagaimana untuk mengajak orang datang mengikuti kelas dan bagi tujuan itu, usaha perlu dipertingk­atkan oleh pengurusan masjid atau pihak yang ingin menganjurk­an pengajian akidah.

Katanya, walaupun minat mempelajar­i ilmu tauhid semakin meningkat dalam masyarakat, persepsi ia adalah ilmu yang berat, ada kala membantutk­an keinginan orang ramai untuk mengikuti kelas berkenaan.

Justeru, pengajian akidah memerlukan pendekatan yang segar dari sudut penyampaia­n oleh pengajar dan cara pembelajar­an yang mudah untuk difahami khususnya kepada mereka yang baru berjinak-jinak dengan pengajian kitab.

“Selalunya, mahu mula memang susah, tetapi selalunya apabila mereka sudah mengikuti kelas tauhid, mereka akan datang lagi untuk terus belajar. Pengajar perlu bijak kerana tanggapan belajar kitab ini ilmu yang berat,” katanya.

Terdahulu, pada sesi pengajian itu, beliau menjelaska­n tanda seorang yang beragama ada empat. Pertama, sah iktikadnya, iaitu keyakinan yang betul yang dibawa dan diamalkan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menurut Hamka, Ahli Sunah Wal Jamaah dalam bab akidah ialah segala rumusan yang dibuat oleh Abu Hasan al-asyari dan Abu Mansur al-maturidi.

Kedua, benar fasadnya, iaitu menunaikan ibadat dengan ikhlas kerana Allah SWT, ketiga ialah menyempurn­akan janji dengan mengerjaka­n segala perintah Allah SWT, seterusnya meninggalk­an segala yang dilarang. Agama hendaklah dilengkap dengan tiga perkara, iaitu Islam, iman dan ihsan.

Bukti fizikal

Sementara itu, Mohd Azman berkata, penyaksian dalam bentuk fizikal membenarka­n segala ciptaan Allah SWT yang hebat serta menyedarka­n manusia mereka tidak mampu mengatasi kekuasaan-nya.

Beliau berkata, jika bukti fizikal yang boleh dilihat mata kasar serta difahami melalui kajian dilakukan sudah meyakinkan manusia dengan kehebatan Allah SWT, apa lagi keajaiban yang menjadi sebahagian daripada sunatullah.

Contohnya, sifat api yang panas membolehka­n manusia memasak dan menggerakk­an kenderaan, tetapi bagaimana api yang sepatutnya mencederak­an tidak melukakan Nabi Ibrahim yang dibakar oleh Raja Namrud.

“Kisah Nabi Ibrahim itu menidakkan hukum api yang sepatutnya membakar, inilah tauhid yang Allah SWT tunjukkan dengan izin-nya dan manusia akan mengakui serta meyakini ayat ‘tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolonga­n Allah SWT,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia