Berita Harian

Ulasan buku medium promosi karya

Kerjasama pihak penerbit, media massa mampu pikat pembaca

- Oleh Hafizah Iszahanid hafiza@bh.com.my

Selain manuskrip yang baik dan sampul memikat, satu hal yang selalu diketepika­n oleh penerbit adalah keperluan mendapat ulasan yang baik bagi buku terbitan mereka.

Malah, di negara ini, tidak banyak penerbit yang melihat ulasan buku sebagai bentuk promosi. Justeru, tidak hairan jika mereka juga tidak bersedia memperuntu­kkan sejumlah kos untuk tujuan berkenaan.

Hal itu didedahkan tiga panel, Ketua Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Hariza Mohd Yusuf; Pengarang Sastera & Agama BH, Mohd Nazmi Yaakub dan Editor Mukasurat.com, Shamsul Amin Md Yusuf pada Forum Prospek Pengulas Buku Profesiona­l Dalam Landskap Buku Malaysia di Perbadanan Kota Buku (PKB) di sini.

Hariza berkata, di sebalik USIM yang masih baru dalam penerbitan buku ilmiah dan sukar memasarkan buku ilmiah tempatan, pihaknya masih mampu menerbitka­n pelbagai tajuk dan genre buku, meskipun dalam jumlah yang kecil.

“Kalau dibanding dengan Indonesia, memang jauh sampai kadang-kadang malu menyebut apabila ditanya oleh mereka.

“Kami mencetak 500 naskhah sahaja untuk satu tajuk, tetapi ada tajuk dan penulis tertentu yang karya mereka diulang cetak,” katanya.

Tegasnya, USIM menyedari kepentinga­n ulasan buku untuk memaut hati pembaca. Justeru mereka dibantu oleh pensyarah USIM membuat ulasan tajuk buku tertentu sebelum dihantar ke media massa.

Bantu lariskan jualan

“Kami tidak ada banyak peruntukan untuk ulasan buku, tetapi dengan jumlah kecil itu, kami boleh mendapat kerjasama yang baik daripada pensyarah dan akhbar seperti BH,” katanya.

Seperti Hariza, Shamsul Amin juga melihat keperluan ulasan buku bagi melariskan lagi jualan apabila PKB memberi ruang khas untuk penulis yang menerbitka­n buku sendiri menerusi program Resensi Buku yang diadakan sebulan sekali.

“Buku perlu dipromosi untuk diketahui dan dibeli kerana itu ulasan buku penting.

“Ulasan buku juga tidak seharusnya terikat dengan gaya lama, misalnya di akhbar atau majalah, tetapi juga perlu meneroka medium lain.

“Antaranya menggunaka­n teknologi seperti book-tube, iaitu konsepnya seperti Youtube, tetapi ia untuk mengulas buku,” katanya.

Di negara ini, kata Shamsul Amin, pengguna book-tube yang disebut sebagai book-tuber tidak ramai. Jika ada pun, ia masih banyak mempromosi buku bahasa Inggeris dan terhad kepada genre remaja.

“Ada juga ulasan buku berbahasa Melayu, tetapi dalam kadar yang kecil. Misalnya sebuah buku berbahasa Melayu dalam tempoh sebulan,” katanya.

Satu hal menarik, secara perbanding­an ulasan buku lebih mendapat tempat di Indonesia kerana jumlah akhbar dan majalah yang jauh lebih banyak diterbitka­n.

Di negara ini, ruang dan peluang ini sangat terhad. Ia mungkin juga antara penyebab mengapa penerbit buku tidak melihat keperluan untuk mengambil kira ulasan buku sebagai medium promosi.

Namun, bagi Mohd Nazmi hal ini boleh diubah dan ulasan buku boleh mendapat tempat di media massa arus perdana jika wujud kerjasama yang baik dengan pelbagai pihak dalam industri buku.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia