Berita Harian

Suarez, Coutinho julang Barca

Ronaldo turut menyerlah bantu Real jinak Eibar

-

Barcelona yang beraksi tanpa Lionel Messi menang 2-0 mengatasi kelab bawahan, Malaga hasil jaringan Luis Suarez dan Philippe Coutinho sekali gus melonjak kelab Catalan itu 11 mata di puncak sementara Real Madrid menang 2-1 di Eibar.

Messi terlepas aksi liga buat pertama kali musim ini bagi menyambut kelahiran anak ketiganya, Ciro tetapi Barca tetap unggul buat pasukan tuan rumah yang menyaksika­n penyerang mereka, Samu Garcia dilayang kad merah pada minit ke-30 selepas mengasari Jordi Alba.

Suarez menanduk masuk hantaran Alba pada minit ke 15 untuk gol pertama Barca dan bekas rakan sepasukan di Liverpool, Coutinho menjaringk­an gol kedua pada minit ke-28 hasil kuisan ke belakang dari jarak dekat selepas mendapat hantaran Ousmane Dembele.

Malaga pasukan terakhir menewaskan Barcelona dalam aksi liga pada April musim lalu lalu memperoleh dua peluang pada separuh masa pertama tetapi gagal menguji penjaga gol pelawat Marc-andre ter Stegen.

Messi akan kembali beraksi dalam saingan Liga Juara-juara menentang Chelsea pada Rabu ini tetapi kapten Andres Iniesta masih belum pulih kecederaan hamstring.

Pemain terbaik dunia

“Leo pemain terbaik dunia dan kami amat memerlukan­nya. Tahniah kepadanya dan harap dapat kembali beraksi untuk perlawanan seterusnya,” kata Coutinho kepada wartawan.

“Kami akui sukar bermain di sini tetapi berjaya mendapatka­n gol awal dan kemudian berjaya mengawal permainan.”

Barca belum tewas dalam liga dengan 72 mata, 11 mata di depan Atletico Madrid yang menentang Celta Vigo semalam. Real di tempat ketiga dengan 57 mata selepas menewaskan Eibar hasil dua jaringan Cristiano Ronaldo.

Penyerang berbisa Portugal itu menembusi gawang lawan pada minit ke-34 dengan rembatan deras selepas mendapat bola hantaran jauh Luka Modric. Ivan Ramis merapatkan kedudukan buat Eibar melalui tandukan hasil sepakan sudut pada minit ke-50.

Namun, Ronaldo menjadi pemusnah tuan rumah pada minit ke-84 apabila tandukanny­a gagal diselamatk­an penjaga gol tuan rumah.

 ??  ?? Suarez cuba melepasi halangan pemain Malaga pada saingan La Liga, kelmarin.
Suarez cuba melepasi halangan pemain Malaga pada saingan La Liga, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia