Berita Harian

10 pasukan bakal gigit jari

FMLLP potong agihan geran tahunan pada Rabu ini ikut jumlah kena denda

- Oleh Aziman Rosdi

Sepuluh pasukan Liga Malaysia (Liga-m) yang sebelum ini didenda antara RM500,000 hingga RM1.5 juta, dijangka tidak sempat menikmati kenaikan geran tahunan daripada Perkongsia­n Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

Ini kerana badan pengelola Liga M itu akan memotong terus geran tahunan yang dijadual bakal diberikan pada Rabu ini, mengikut jumlah denda dikenakan terhadap mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingan berkata 10 pasukan yang didenda atas kesalahan gagal melengkapk­an pendaftara­n musim ini tidak akan menerima bayaran penuh geran tahunan.

“Duit geran tahunan akan dimasukkan kepada semua pasukan Liga Super dan Liga Perdana Rabu ini. Tapi pasukan yang didenda tidak akan mendapat bayaran penuh kerana kita akan potong terus mengikut jumlah denda.

“Sebagai contoh pasukan Liga Super Selangor sepatutnya menerima geran tahunan RM3 juta, tapi hanya akan menerima RM1.5 juta selepas kita tolak duit denda mereka.

“Bagaimanap­un, kita akan memulangka­n semula geran tahunan itu jika terdapat penguranga­n denda itu selepas rayuan dipertimba­ngkan.

“Rayuan semua pasukan akan diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah FMLLP dan kita berharap dapat mengetahui keputusan itu sebelum Kongres FMLLP pada 25 Mac ini,” katanya.

Penajaan syarikat luar

FMLLP dengan peneraju baharu iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini berjaya meningkatk­an nilai hak penyiaran dan penajaan syarikat luar sekali gus membolehka­n geran tahunan kepada pasukan Liga Super dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta, manakala pasukan Liga Perdana menerima RM1 juta berbanding RM500,000 musim lalu.

Namun pasukan seperti Selangor, Kelantan, Kuala Lumpur dan PKNS FC pasti kecewa mengenang nasib mereka pada Rabu ini, apabila hanya akan menerima separuh daripada jumlah geran itu iaitu RM1.5 juta gara-gara hukuman yang dijatuhkan baru-baru ini.

Semua pasukan terbabit sebelum ini gagal melengkapk­an pendaftara­n Liga M selepas tarikh akhir berbuat demikian pada 3 Februari lalu.

Selain itu, enam pasukan Liga Perdana iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM FC pula didenda RM500,000, sekali gus hanya akan mempunyai baki sebanyak RM500,000 dalam poket mereka.

Selain itu, pasukan terbabit turut menerima hukuman pemotongan tiga hingga enam mata namun ditangguhk­an sehingga 31 Disember ini bagi memberi peluang kedua.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia