MINYAK MENTAH
Harga minyak mentah meningkat hampir AS$2 pada Jumaat lalu, melonjak semula selepas mencatatkan kejatuhan dalam dua hari berikutan peningkatan Wall Street susulan pengukuhan perangkaan pekerjaan Amerika Syarikat (AS).
Sementara itu, pelabur juga berharap rancangan pertemuan antara Presiden AS, Donald Trump dan pemimpin Korea Selatan, Kim Jong Un akan mengurangkan ketegangan geopolitik.
Kontrak pasaran hadapan minyak mentah Brent meningkat AS$1.88 untuk ditutup pada paras AS$65.49 satu tong, meningkat 2.96 peratus. Brent didagangkan antara AS$63.69 dan AS$65.63 pada sesi itu.
Kontrak hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) meningkat AS$1.92 kepada AS$62.04 satu tong, meningkat 3.19 peratus.
Minyak mentah AS didagangkan antara AS$60.14 dan AS$62.14.
Harga minyak mentah melanjutkan peningkatan dengan kedua-dua kontrak penanda aras meningkat lebih AS$2.
Minyak mentah Brent dan AS mencatatkan peningkatan peratusan mingguan selepas mencatatkan kejatuhan peratusan mingguan pada minggu sebelumnya.
Trump berkata, beliau bersiap sedia untuk bertemu dengan Kim yang mana akan menjadi pertemuan bersemuka pertama antara pemimpin dari kedua-dua negara.
Kim juga komited untuk menggantung ujian nuklear atau peluru berpandu.
Wall Street melonjak selepas perangkaan pembayaran AS menunjukkan peningkatan pekerjaan yang kukuh pada Februari.
Indeks S&P 500 meningkat 1.5 peratus, sementara Indeks Komposit Nasdaq mencatat rekod tertinggi, sekali gus menyokong harga minyak.