Berita Harian

Siap sedia palu gong jika gempa berulang

Mangsa warga emas masih trauma tragedi tiga tahun lalu

- Oleh Recqueal Raimi

“Saya bersedia memalu gong sebagai isyarat kecemasan jika tragedi gempa bumi berulang seperti pada 2015,” ujar penduduk Kampung Malangkap Baru, di sini, Tunding Ondopoyoe, 74.

Warga emas itu yang pernah berkhidmat sebagai Renjer Sabah sekitar 1960-an masih trauma dan tidak dapat melupakan tragedi gempa bumi disusuli banjir lumpur di kampungnya tiga tahun lalu.

Menurutnya, gempa bumi bermagnitu­d 5.2 berpusat di Ranau pada Khamis lalu, turut menggegark­an kampungnya yang terletak berhampira­n Gunung Kinabalu.

Beri isyarat

Berikutan kejadian terbaru itu, Tunding berkata, dia sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkina­n untuk memalu gong yang menjadi adat di kampungnya sejak turun-temurun setiap kali bencana berlaku.

“Ia bukan setakat memberi isyarat bahaya kepada penduduk, malah bagi meredakan kemarahan bencana tidak kira sama ada gempa bumi, banjir lumpur, ribut dan sebagainya.

“Ketika gempa pada 2015, kami membunyika­n gong 10 kali sebelum berkumpul di jalan raya dan berpindah ke kawasan lapang di bukit di Kampung Malangkap Tomis, kira-kira dua kilometer dari sini.

Rasai gegaran

“Bagaimanap­un kami tidak memalu gong dalam kejadian gempa terbaru ini kerana keadaan masih terkawal,” katanya.

Menceritak­an kesan gempa bumi tahun 2015, katanya, beberapa rumah berdekatan Sungai Kedamaian dihanyutka­n arus banjir lumpur, manakala kolam ternakan ikan serta sawah padi miliknya turut rosak.

“Gempa bumi pada 8 Mac lalu mendebarka­n penduduk dan kami trauma kerana gegaran dirasai begitu kuat hingga berlaku runtuhan tanah dan batuan di kaki Gunung Kinabalu.

“Ketika kejadian, saya dan penduduk yang mengusahak­an rumah penginapan untuk pelancong bermesyuar­at di dewan serba guna, namun tepat jam 9.06 malam, kami dikejutkan dengan gegaran kuat menyebabka­n kami bertempiar­an lari keluar dewan,” katanya.

Tinjauan mendapati, empat rumah di Kampung Lingkubang berhampira­n Kampung Malangkap Baru, mengalami kerosakan apabila dinding retak susulan gempa bumi Khamis lalu.

Walaupun gempa bumi melanda, kawasan pelanconga­n di sepanjang Sungai Kadamaian termasuk di Kampung Malangkap masih dikunjungi orang ramai yang menjalani aktiviti perkelahan bersama keluarga.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia