Berita Harian

Hutang negara kekal terurus: PM

Kadar pada 50.8 peratus daripada KDNK letakkan Malaysia sebagai negara keberhutan­gan sederhana

-

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman, Idris Musa, Rizanizam Abdul Hamid, Luqman Arif Abdul Karim, Farhana Syed Nokman dan Nor Ain Mohamed Radhi

Tahap hutang negara ketika ini berada pada paras 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kadar hutang yang tidak melebihi 55 peratus daripada KDNK itu mencermink­an kedudukan hutang negara kekal terurus dan meletakkan Malaysia sebagai negara keberhutan­gan sederhana.

“Jika hendak dibandingk­an dengan beberapa negara maju, hutang kerajaanny­a berbanding KDNK jauh lebih tinggi sehingga ada yang melebihi 200 peratus,” katanya.

Langkah urus ekonomi

Beliau menjawab soalan Tan Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah (Bn-mukah) di Dewan Rakyat, semalam, mengenai langkah jangka panjang kerajaan menguruska­n ekonomi negara, khususnya penarafan kredit bagi mengekalka­n kemampanan defisit Malaysia berada pada kadar rendah.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan tidak boleh sekadar mengambil pendekatan popular, sebaliknya perlu lebih bertanggun­gjawab dan melaksanak­an inisiatif berkaitan termasuk menyediaka­n asas ekonomi dan kewangan yang kukuh demi kepentinga­n rakyat serta generasi masa hadapan.

“Sebagai kerajaan bertanggun­gjawab, kita akan terus sediakan perancanga­n ekonomi dan kewangan bagi jangka panjang untuk mencapai sasaran negara berpendapa­tan tinggi menjelang 2020.

“Sasaran lain merangkumi matlamat saiz ekonomi mencapai RM2 trilion pada 2025, seiring hala tuju Transforma­si Nasional 2050 (TN50) untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan 20 negara terbaik lagi termaju dunia pada 2050,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Liang Teck Meng (Bn-simpang Renggam) mengenai tindakan pembangkan­g mensabotaj ekonomi negara, Najib berkata, pelbagai dakyah dijaja di luar negara itu disangkal siri penerbitan badan penarafan dunia.

Fakta disahkan IMF

“Kita tahu apa mereka (pembangkan­g) kata di luar negara. Sebenarnya benda yang dicanang itu tiada asas, sebaliknya setiap kenyataan harus berdasarka­n fakta.

“Apa saya katakan dalam dewan ini bersandark­an fakta yang disahkan badan seperti Tabung Kewangan Antarabang­sa (IMF) dan sebagainya.

“Jika ada pihak kata Malaysia muflis dan negara gagal, ia adalah satu pembohonga­n yang jelas,” katanya.

Jika hendak dibandingk­an dengan beberapa negara maju, hutang kerajaanny­a berbanding KDNK jauh lebih tinggi sehingga ada yang melebihi 200 peratus” Najib Razak, Perdana Menteri

 ?? [FOTO ASYRAF HAMZAH/BH] ?? Najib diiringi Penasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor ketika hadir untuk menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, semalam.
[FOTO ASYRAF HAMZAH/BH] Najib diiringi Penasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor ketika hadir untuk menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia