Berita Harian

Pembangkan­g impikan tawan kubu kuat BN

Pakatan Harapan dijangka berdepan kesukaran ambil alih kepemimpin­an Johor pada PRU-14

- Oleh Junita Mat Rasid dan Mohd Fahmi Mohd Yusof cnews@nstp.com.my Johor Bahru

Jatuhnya Johor, umpama jatuhnya Barisan Nasional (BN). Itulah matlamat pembangkan­g sekarang, yang beria-ia mahu mengambil alih kepemimpin­an Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kali ini.

Selama ini, Johor adalah kubu kuat UMNO, apatah lagi ia menjadi tempat lahirnya parti keramat itu.

Bagaimanap­un, sudah pasti tidak mudah untuk menembusi Johor dan usaha pembangkan­g ini dijangka gagal, malah kemungkina­n juga bakal kehilangan sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen dan beberapa lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-14.

Pelbagai isu yang dibangkitk­an pembangkan­g, terutama berkaitan dengan Johor juga dilihat berjaya dijawab dan ditepis oleh kerajaan negeri.

Pecahan undi melayu

Ketika undi Cina dan India dilihat semakin menunjukka­n peningkata­n, penganalis­is berpendapa­t perpecahan undi dalam kalangan pengundi Melayu juga dilihat sedikit sebanyak memberi kelebihan BN bagi mengekalka­n kerusi dan menambah lagi kerusi.

Kedudukan di beberapa kerusi yang mencatatka­n majoriti undi rendah pada PRU-13 lalu tidak boleh dipandang mudah oleh lawan kerana sudah pasti tempoh hampir lima tahun sedikit sebanyak mengubah keadaan, selain sentimen pengundi juga berbeza kali ini.

Untuk itu, BN perlu berkerja lebih kuat dan membentang­kan rekodnya kepada pengundi kerana walaupun dilihat mampu mengekalka­n kuasa di Johor, ia berdepan laluan sukar dan tidak keterlalua­n dikatakan beberapa kerusi yang dimenangi sebelum ini juga mungkin jatuh ke tangan pembangkan­g jika tiada langkah drastik dilakukan.

Beberapa kerusi Parlimen seperti Johor Bahru, Muar, Pagoh, berdepan cabaran besar berikutan nama besar yang bakal bertanding di kawasan itu, namun walaupun ia dikatakan agak goyah, tidak mustahil BN mampu menangkis semua cabaran untuk memenangi kerusi terbabit.

Bagi kerusi DUN, BN dilihat mampu mengetepik­an cabaran pembangkan­g sekali gus mengekalka­n majoriti dua pertiga, atau mengekalka­n sekurang-kurangnya 37 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri dengan mandat kukuh.

Penganalis­is Politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata Johor masih memiliki kelebihan kepada BN meskipun Pakatan Harapan (PH) cuba menggempur Johor.

Katanya, meskipun ada beberapa pandangan penyelidik berbelah bahagi mengenai situasi di Johor dengan kajian menunjukka­n beberapa kerusi BN akan kalah, namun secara keseluruha­nnya parti itu masih diterima di negeri itu.

“Di Johor, banyak kerusi Parlimen campur iaitu peratusan pengundi yang hampir sama, selain ada kawasan yang dimenangi dengan majoriti kecil sehingga dijadikan sasaran oleh parti pembangkan­g.

“PAS di Johor akan menjadi kuasa ketiga memecah undi di negeri itu, namun saya lihat masih tidak mampu untuk mengatasi BN.

“Cuma beberapa kerusi kritikal di Segamat, Pulai dan Muar, (BN) perlu berhati-hati,” katanya.

Rakyat Johor setia

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Media serta Penganalis­is Politik dari Universiti Teknologi MARA (UITM), Prof Datuk Dr Ismail Sualman, berpendapa­t Johor tetap menjadi kelebihan buat BN dan UMNO.

“Melihat kepada sentimen dan realiti, rakyat di Johor masih mempunyai tahap kesetiaan dan wala’ yang tinggi pada pemerintah serta parti.

“Di Johor kita tidak boleh ukur kekuatan sesuatu parti itu berdasarka­n bilangan orang yang datang pada ceramah tetapi calon atau individu yang berjaya memenangi hati rakyat yang akan dipilih,” katanya.

Ismail yakin Johor mampu menyumbang kemenangan kerusi Parlimen untuk peringkat pusat, manakala negeri masih boleh mempertaha­n dan merampas semula kerusi dengan kerjasama kuat serta strategi baik.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia