Berita Harian

Pasir Gudang, Pagoh kerusi panas

Penganalis­is, pemerhati politik yakin BN mampu raih kemenangan di Johor

- Oleh Junita Mat Rasid dan Mohd Fahmi Mohd Yusof

Kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu dengan 20 kerusi Parlimen daripada keseluruha­n 26 kerusi dan 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 kerusi menunjukka­n kedudukan parti itu bukan di tahap terbaik.

Pertambaha­n kerusi dimenangi pembangkan­g pada pilihan raya lalu, menjadikan Johor sasaran Pakatan Harapan (PH) untuk cuba mengganggu gugat pada PRU-14 nanti.

Walaupun rekod Johor pada PRU-13 sedikit tercalar berbanding PRU sebelum ini, ramai penganalis­is, pemerhati dan ahli politik sendiri melihat bahawa BN tetap mampu meraih kemenangan.

Sekurang-kurangnya 10 kerusi panas Parlimen di Johor menjadi tumpuan dengan saingan sengit dan kedudukan pola pengundi yang bercampur iaitu peratusan pengundi Melayu dan India yang tidak banyak berbeza pastinya memberi cabaran besar kepada parti.

Tujuh kerusi Parlimen di utara Johor iaitu Segamat, Labis, Pagoh, Muar, Ayer Hitam, Batu Pahat dan Kluang dianggap kerusi panas dengan kedua-dua pihak sebenarnya mempunyai peluang tidak jauh berbeza.

Selain itu, Pasir Gudang dan Pulai yang terletak di daerah Johor Bahru dan kawasan pembanguna­n Iskandar Malaysia menjadi cabaran besar kepada BN untuk mengekalka­nnya di sebalik sentimen dan majoriti rendah yang dicatatkan pada PRU lalu.

Gelang Patah yang sebelum ini dimenangi DAP melalui pemimpin besarnya, Lim Kit Siang, tidak lagi boleh dimegahkan oleh pembangkan­g apabila dikatakan pelbagai isu timbul, selain pengesahan MCA yang akan meletakkan calonnya sendiri di kawasan itu berbanding sebelum ini kerusi terbabit dipinjamka­n kepada UMNO.

Jadi sasaran utama

Kedudukan Labis yang dimenangi dengan majoriti paling rendah iaitu sekadar 353 undi dan kerusi Pasir Gudang dengan majoriti 935 undi, meletakkan kedua-dua kerusi BN itu goyah dan menjadi antara sasaran utama pembangkan­g.

Walaupun keputusan PRU-13, tidak boleh diambil kira sepenuhnya, jumlah majoriti yang terlampau sedikit itu memberi amaran kepada BN.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Media serta Penganalis­is Politik dari Universiti Teknologi MARA (UITM), Prof Datuk Dr Ismail Sualman, berkata beberapa kerusi di Johor dilihat menjadi tumpuan pada PRU-14.

Katanya, Pagoh, Muar, Kluang, Pulai dan Pasir Gudang dilihat antara kerusi panas di Johor pada PRU-14 nanti, sekali gus menjadi perhatian semua pihak.

Tiada pecahan undi

“Bagaimanap­un perlu kita ingat, pada PRU-13 lalu beberapa kawasan yang majoritiny­a sedikit seperti Pasir Gudang disebabkan PAS masih bersama pakatan pembangkan­g ketika itu tetapi kini tidak dan akan berlaku pecahan undi,” katanya.

Bagi Penganalis­is politik Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, tahap sokongan undi peneroka FELDA mencapai hampir 90 peratus mengundi BN di Johor.

“Namun, di beberapa kawasan Parlimen, BN sukar juga mengekang sepenuhnya kemaraan pembangkan­g misalnya, di Sekijang, Labis dan Tebrau BN menang, namun kemenangan ini disokong oleh undi peneroka FELDA.

“Namun, berdasarka­n sejarah PRU di beberapa tempat di Semenanjun­g Malaysia didapati pembangkan­g tetap menang di beberapa kerusi Parlimen meskipun mempunyai kelebihan undi masyarakat FELDA.

“Di Johor, contoh yang jelas ialah di Kulai apabila DAP tetap menang meskipun wujud undi FELDA,” katanya.

Di beberapa kawasan Parlimen, BN sukar juga mengekang sepenuhnya kemaraan pembangkan­g misalnya, di Sekijang, Labis dan Tebrau BN menang, namun kemenangan ini disokong oleh undi peneroka FELDA” Dr Awang Azman Awang Pawi, Penganalis­is politik Universiti Malaya (UM)

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia