Berita Harian

Terima calon dipilih demi kebaikan bersama

-

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semakin hampir, calon mewakili parti akan diumumkan secara rasmi tidak lama lagi.

Mereka yang tidak dicalonkan harus menerima hakikat tidak dipilih untuk mewakili parti masingmasi­ng, mesti menerima hakikat bukan kerana mereka tidak bagus, namun pucuk pimpinan hanya memilih individu dianggap terbaik bagi mewakili parti untuk berdepan lawan.

Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan ataupun Gagasan Sejahtera, sudah tentu akan memilih calon terbaik mewakili mereka berdasarka­n kriteria tertentu, antaranya yang penting ialah mempunyai rekod yang baik, dikenali penduduk setempat, boleh menang dan disukai.

Calon juga mesti bersedia bekerja untuk rakyat sekiranya dipilih kelak agar tidak timbul isu hanya turun ke kawasan setahun sekali, atau hanya kelihatan apabila sudah di hujung penggal.

Rakyat memerlukan wakil yang sentiasa prihatin dengan isu mereka, wakil yang mesra rakyat, bekerja kuat demi penduduk di kawasan yang mereka wakili dan bersih daripada rasuah serta kepentinga­n peribadi.

Persiapan rapi dibuat

BN bukan sahaja memilih calon yang layak dan berwibawa untuk bertanding pada PRU-14, malah calon juga ditapis Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). PAS juga akur dan bersetuju dengan saranan SPRM mengenai inisiatif Ikrar Bebas Rasuah (BR).

Jika dilihat langkah dilaksanak­an BN, parti ini melakukan persiapan yang rapi dalam memastikan mereka memberikan yang terbaik untuk rakyat.

Justeru, ahli BN mestilah menerima dengan berlapang dada walau siapa pun yang dipilih sebagai calon.

Tidak perlulah melakukan sabotaj terhadap parti jika pemimpin yang disokong tidak tersenarai sebagai calon. Janganlah penyokong sesetengah pemimpin melakukan ‘cah keting’ jika pemimpin mereka tidak terpilih sebagai calon.

Perbuatan mensabotaj parti jika calon pilihan sesetengah pihak yang tidak dipilih hanya akan merugikan parti.

Tindakan seperti menutup bilik gerakan, memulaukan pilihan raya dan mengundi pembangkan­g tidak memberi faedah kepada parti yang menetapkan calon tertentu.

Gejala ‘cah keting’ berlaku di beberapa kawasan Parlimen sejak beberapa PRU yang lalu, berbeza jika dibandingk­an dengan pemimpin pada 1960-an dan 1970-an yang tidak berebut-rebut untuk menjadi calon kerana tanggungja­wab sebagai wakil rakyat ialah amanah berat.

Namun, kini ramai menawarkan diri untuk menjadi wakil rakyat, satu jawatan yang dianggap berprestij.

Antara sebab berlaku ‘cah keting’ kerana calon yang dipilih itu ialah calon ‘payung terjun’ iaitu calon yang bukan berasal dari kawasan terbabit, menyebabka­n sesetengah jentera parti kecewa kerana mereka menjangka pemimpin tempatan akan dipilih.

Perkara yang sama juga akan berlaku jika calon dari ‘kem’ tertentu yang dipilih dalam kalangan kepemimpin­an di bahagian atau kawasan tertentu kerana sesetengah pihak bersungguh-sungguh menjalanka­n gerak kerja parti, mengharapk­an pemimpin mereka dipilih.

Tak faham konsep demokrasi

Langkah pihak tertentu yang melakukan sabotaj tidak memahami konsep demokrasi yang sebenar. Kompromi sepatutnya ada dan sikap mementingk­an diri sendiri harus dikikis jika ahli parti politik itu ingin melihat parti berjaya.

Tidak semestinya dengan tidak dapat menjadi wakil rakyat mereka tidak dapat berbakti kepada rakyat.

Mungkin sesetengah pihak beranggapa­n dengan menjadi wakil rakyat, mereka dan penyokong akan mendapat ‘habuan’ tertentu. Sikap seperti ini harus dikikis dari minda.

Tugas dan tanggungja­wab wakil rakyat untuk berbakti kepada rakyat dan bukan untuk mengkayaka­n diri sendiri dengan mengharapk­an projek tertentu.

Kadangkala wakil rakyat terpaksa mengeluark­an duit sendiri demi memastikan masalah rakyat yang mereka wakili terbela.

Oleh yang sedemikian, ahli parti yang bertanding PRU ke-14 kelak mestilah mengelakka­n gejala ‘cah keting’ dalam parti mereka jika ingin memastikan kemenangan parti.

Sabotaj parti boleh dianggap perbuatan khianat dan tidak setia kepada parti.

Mereka yang melakukan perbuatan sabotaj juga gagal dalam memastikan proses demokrasi yang sebenar terus subur dalam parti masing-masing.

Terimalah sesiapa saja yang ditentukan oleh pucuk kepemimpin­an demi kebaikan bersama.

Dr Ainul Adzellie Hasnul Penganalis­is politik

Kuala Lumpur

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Tidak perlu melakukan sabotaj terhadap parti jika pemimpin yang disokong tidak tersenarai sebagai calon.
[FOTO HIASAN] Tidak perlu melakukan sabotaj terhadap parti jika pemimpin yang disokong tidak tersenarai sebagai calon.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia