Berita Harian

Detik gembira Mina berakhir dengan tragedi

-

Tehran: Anak perempuan ahli perniagaan terkenal Turki, Mina Basaran, adalah antara 11 mangsa yang dilaporkan terbunuh, selepas pesawat Bombardier Challenger 604 yang dinaiki terhempas di kawasan pergununga­n di Zagros, kelmarin.

Turut maut adalah tiga anak kapal, termasuk dua juruterban­g wanita pesawat itu yang dipercayai dimiliki oleh Basaran Holding, iaitu syarikat yang diterajui bapa mangsa, Huseyin.

Ketika kejadian, pesawat per- sendirian itu dalam perjalanan menuju Istanbul dari Sharjah, selepas Mina dan tujuh lagi rakannya bercuti di Emiriah Arab Bersatu (UAE), bagi meraikan majlis perkahwina­nnya.

Muat naik gambar percutian

Media tempatan Turki melaporkan, Mina, 28, bertunang pada Oktober lalu dan percutian di UAE bersama rakannya diadakan sebelum beliau menamatkan zaman bujangnya.

Malah, mereka dilaporkan memuat naik gambar percutian di Dubai itu di media sosial sehari sebelum kejadian.

Sementara itu, Mina dilantik menganggot­ai lembaga pengarah syarikat miliknya bapanya pada 2013.

Syarikat yang berpangkal­an di Istanbul itu dilaporkan terbabit dalam sektor tenaga, pembinaan dan pelanconga­n, serta memiliki beberapa hotel.

Jabatan Penerbanga­n Awam Sharjah, dalam satu kenyataan, menyatakan pesawat itu tidak memohon prosedur penyenggar­aan ketika berada di lapangan terbang itu.

“Pesawat itu berlepas pada jam 5.16 petang (waktu tempatan) dan didapati hilang dari skrin radar pada jam 7.30 malam (waktu tempatan),” lapor agensi berita WAM yang memetik kenyataan Jabatan Penerbanga­n Awam Sharjah.

Walaupun punca kejadian masih belum diketahui, namun menurut beberapa laporan insiden berlaku ketika hujan lebat. AFP

 ??  ?? Mina Basaran
Mina Basaran

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia