Berita Harian

Chong Wei tak fikir rekod

Jaguh negara buru kejuaraan kelima kejohanan

- Oleh Helmi Talkah

Jaguh perseorang­an negara, Datuk Lee Chong Wei meramalkan bakal menempuh cabaran sukar dalam misinya mempertaha­nkan gelaran juara Seluruh England yang akan membuka tirai saingan esok.

Pemain nombor dua dunia itu berpeluang mencipta sejarah menjadi pemain Malaysia yang paling banyak menjuarai kejohanan berprestij itu dan sekiranya berjaya muncul juara pada edisi kali ini, ia adalah kejuaraan kelima selepas menjulangn­ya pada 2010, 2011, 2014 dan 2017.

Bagaimanap­un, Chong Wei, 36, berkata dia tidak terlalu memikirkan untuk mencipta rekod, sebaliknya menegaskan apa yang lebih penting persiapan menghadapi setiap lawannya dalam kejohanan tertua itu.

“Setiap pemain pasti mahu menang dalam setiap kejohanan disertai dan saya tahu kalau saya menang kali ini, saya akan menjadi pemain Malaysia yang paling banyak menang Seluruh England.

Nikmati perlawanan

“Namun, saya tidak terlalu fikir sangat kerana apa yang paling penting adalah keadaan dan persiapan saya. Saya mahu menikmati setiap perlawanan di Seluruh England.

“Pada tahap sekarang, saya gembira dengan keadaan saya kerana walaupun sudah berusia 36 tahun tetapi masih berada di atas gelanggang dan berjuang demi Malaysia,” kata Chong Wei yang akan menentang pemain Brazil, Ygor Coelho pada aksi pusingan pertama.

Selepas menjuarai edisi tahun lalu, Chong Wei berjaya menyamai rekod Wong Peng Soon dan Datuk Eddy Choong merangkul kejuaraan perseorang­an lelaki dalam saingan Seluruh England sebanyak empat kali.

Bagaimanap­un, jaguh negara itu dijangka berdepan halangan sukar dalam usaha mara ke final.

Jika melepasi pusingan pertama, dia dijangka bertemu pemain Denmark, Jan O Jorgensen sebelum musuh tradisi, Lin Dan dari China menantinya di suku akhir.

Ditanya sama ada situasi itu memberi tekanan kepada dirinya dalam misi merangkul gelaran kelima sekali gus muncul pemain Malaysia terbanyak menjuarai Seluruh England, Chong Wei berkata dia menganggap­nya sebagai motivasi buat dirinya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia