Berita Harian

Ing Yueh optimis menyerlah selepas pulih

- Oleh Jumiati Rosly

Kuala Lumpur: Gimnas negara, Tan Ing Yueh optimis dapat menampilka­n persembaha­n terbaik pada Sukan Komanwel di Gold Coast bulan depan biarpun cedera buku lali ketika beraksi pada Piala Dunia di Melbourne, bulan lalu.

“Saya terseliuh sedikit tetapi sekarang semakin sembuh. Kini saya masih menjalani fisioterap­i dan rehabilita­si dengan nasihat doktor.

“Saya juga sudah mendapat pelepasan untuk ke Sukan Komanwel, cuma masa ini saya masih perlu lalui proses pemulihan terutama dalam menguatkan lagi buku lali kiri saya,” katanya yang memenangi emas acara batang titian di siri Piala Dunia di Ljubljana, Slovenia pada 2016.

Ketuai cabaran

Ing Yueh disenaraik­an mengetuai cabaran skuad gimnastik artistik wanita negara pada temasya kedua terbesar dunia itu yang turut dibarisi Tracie Ang, Farah Ann Abdul Hadi dan Nur Azira Aziri dengan misi besar menamatkan kemarau pingat.

“Saya sudah kembali sertai latihan bersama rakan dan kami tidak akan menyertai kejohanan lain bagi memberi fokus latihan di sini,” katanya.

Gimnas berumur 21 tahun itu cedera pada hari pertama Piala Dunia di Melbourne ketika beraksi dalam acara melombol.

“Saya melakukan kesilapan ketika mendarat dan ia menyebabka­n tekanan pada kaki dan terseliuh,” katanya yang merangkul dua emas dan satu perak di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu.

Sementara itu, Jeremiah Loo dan Tan Fu Jie menjadi dua gimnas lelaki yang akan mengibarka­n cabaran negara pada temasya di Gold Coast berdasarka­n persembaha­n cemerlang mereka di KL2017.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia