Bank tempatan diunjur kekal prestasi cemerlang
Pertumbuhan pinjaman, asas ekonomi makro kukuh lonjak untung: Moody’s
Bank tempatan dijangka meneruskan prestasi cemerlang tahun ini, disokong oleh pertumbuhan pinjaman, asas ekonomi makro lebih kukuh dan pemulihan sektor minyak dan gas, demikian menurut agensi penarafan antarabangsa, Moody’s Investors Service (Moody's).
Enam bank yang diberikan penarafan oleh Moody’s di Malaysia menunjukkan prestasi kukuh tahun lalu, dengan beberapa penambahbaikan dijangka berlaku dalam beberapa sektor perniagaan tahun ini.
Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody’s, Simon Chen, berkata kualiti aset dan keuntungan enam bank berkenaan secara umumnya meningkat pada 2017, manakala permodalan dan pendanaan masingmasing kekal mencukupi.
“Kami menjangkakan permintaan bagi pinjaman akan terus pulih pada 2018, sekali gus mengukuhkan lagi keuntungan, namun dengan syarat pembiayaan yang diketatkan.
“Hasilnya, pertumbuhan keuntungan dalam kalangan bank yang mempunyai francais deposit lebih kecil akan dihadkan oleh kos pembiayaan lebih tinggi,” katanya.
Nisbah pinjaman susut nilai
Rumusan Moody’s itu terkandung di dalam laporan terbarunya,
(Bank Malaysia: 2017 menyaksikan kualiti aset stabil, keuntungan meningkat).
Moody’s berkata, bank yang terkandung di dalam laporan berkenaan adalah Malayan Banking Bhd (A3/A3 stabil, a3); CIMB Group Holdings Bhd (Baa1 stabil); Public Bank Bhd (A3 stabil, a3); RHB Bank Bhd (A3/A3 stabil, baa3); Hong Leong Bank Bhd (A3 stabil, baa1) dan Ambank (M) Bhd (Baa1/baa1 stabil, baa3).
Mengulas lanjut, Moody’s berkata, kualiti aset bank mendapat manfaat daripada persekitaran ekonomi makro lebih mantap tahun ini, di pasaran domestik dan serantau, manakala bank yang mempunyai pendedahan kepada sektor minyak dan gas akan menyaksikan mutu aset masingmasing bertambah stabil berikutan harga minyak lebih tinggi.
Agensi penarafan itu berkata, nisbah pinjaman susut nilai dalam kalangan bank kekal stabil pada 2017, meskipun bank yang mempunyai operasi berskala besar di negara Asia Tenggara lain merekodkan nisbah pinjaman susut nilai kasar lebih tinggi, disebabkan oleh terbitan kualiti aset dalam kalangan peminjam korporat berkaitan komoditi.
Katanya, kebanyakan bank mencatatkan keuntungan lebih tinggi tahun lalu, didorong oleh pertumbuhan pendapatan konsisten, margin faedah bersih yang stabil dan penyederha naan kos kredit.
Kos kredit
Tambahan lagi, ia berkata, persekitaran yang positif ini akan berterusan pada 2018, manakala usaha transformasi digital akan menyokong pertumbuhan lebih kukuh dari segi pendapatan dan kecekapan kos.
“Pertumbuhan pinjaman akan meningkat pada 2018, disokong oleh permintaan lebih tinggi bagi pinjaman korporat dan pinjaman pengguna. Perkembangan ini, ditambah pula margin faedah bersih yang stabil, akan menyokong keuntungan bank,” katanya.
Moody’s berkata, kos kredit keseluruhan pula akan meningkat sedikit berbanding 2017, dipacu khususnya oleh caj kredit lebih tinggi seperti diperlukan di bawah Piawaian Laporan Kewangan Malaysia 9 (MFRS 9), berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Nisbah modal pula, katanya, meningkat pada 2017 berikutan pertumbuhan aset wajaran risiko (RWA), pelan pelaburan semula dividen dan inisiatif mengoptimumkan RWA oleh sebahagian bank.