TOS peroleh kontrak payung PETRONAS Carigali
Offshore Services Sdn Bhd (TOS), anak syarikat penuh T7 Global Bhd (T7 Global) menerima Surat Lantikan (LOA) daripada Petronas Carigali Sdn Bhd (PETRONAS Carigali) untuk kontrak payung bagi penyediaan unit kerja hidraulik (HWU).
Kontrak payung kebiasaannya dianugerahkan kepada sesebuah syarikat yang bertindak sebagai majikan kepada agensi kontraktor yang bekerja di bawah tugasan kontrak terma tetap.
Perjanjian kontrak payung diperoleh T7 itu adalah bagi tempoh tiga tahun dengan pilihan lanjutan satu tahun, bermula 6 Februari lalu hingga 5 Februari 2021. Skop perjanjian adalah bagi penyediaan 600K HWU.
Timbalan Pengerusi Eksekutif T7 Global, Tan Sri Tan Kean Soon, berkata kontrak berkenaan adalah rangka kerja payung, yang mana pekerjaan dijalankan berdasarkan keperluan masa.
“Ahli lembaga T7 Global berpendapat penerimaan kontrak itu adalah untuk kepentingan syarikat.
“Walaupun kumpulan sudah berjaya memperoleh beberapa kontrak sepanjang tempoh itu, kami sedar sebahagian besar hasilnya dapat diperoleh pada 2018 dan akan datang,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Penyediaan HWU
Penganugerahan kontrak payung itu adalah bagi penyediaan HWU untuk menjalankan aktiviti membaiki atau memastikan kelancaran operasi di telaga minyak.
Sebagai tambahan kepada jenis unit 150K, 225K dan 460K HWU, TOS juga dianugerahkan bagi penyediaan 600K HWU yang mana ia boleh melakukan kapasiti lebih tinggi daripada jenis 150K, 225K dan 460K HWU.
Kean Soon berkata, syarikat kini memfokuskan kepada kepelbagaian aliran pendapatan baharu yang menyediakan pendapatan berulang, selain terus berusaha menambah buku tempahan.
T7 Global, iaitu penyedia perkhidmatan minyak dan gas huluan dan hiliran utama di Malaysia Diperbadankan pada 11 Ogos 2004 dan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.
Syarikat itu kini berkembang secara dinamik, termasuk menerusi pengambilalihan strategik, kerjasama dengan rakan kongsi tempatan dan juga syarikat terkemuka antarabangsa.