Berita Harian

WANITA DERA AMAH DIPENJARA 8 TAHUN

Hakim ketepi hukuman bon kelakuan baik, jaminan RM20,000

- Oleh Sarah Zulkifli

Suri rumah yang sebelum ini dikenakan bon berkelakua­n baik selepas mengaku bersalah mendera pembantu rumahnya, dipenjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Hakim Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah menjatuhi hukuman itu terhadap Rozita Mohamad Ali, 44, selepas mengetepik­an hukuman Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 15 Mac lalu yang memutuskan bon berkelakua­n baik selama lima tahun dan jaminan RM20,000.

Hukuman diperintah bermula semalam dan mahkamah menolak permohonan penangguha­n pelaksanaa­n.

Tun Abd Majid dalam penghakima­nnya berkata, walaupun mangsa menarik balik laporan polis terhadap Rozita (responden), Jabatan Peguam Negara mempunyai kuasa mutlak dan berhak meneruskan kes itu.

“Mahkamah mengambil kira pertuduhan pindaan daripada Seksyen 307 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 326 kanun sama, namun hukumannya masih sama iaitu penjara maksimum 20 tahun.

“Justeru, mahkamah menjatuhka­n hukuman penjara lapan tahun terhadap Rozita,” katanya.

Mohon denda RM50,000

Terdahulu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Rozita dalam rayuannya, memohon denda maksimum RM50,000 dan mahkamah meringanka­n hukuman terhadap anak guamnya atas alasan wanita itu seorang suri rumah dan aktivis haiwan.

Bagaimanap­un, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Iskandar Ahmad memohon hukuman setimpal berbentuk pemenjaraa­n kerana kes itu mendapat perhatian umum, selain membabitka­n hubungan dua hala Malaysia-indonesia.

“Mahkamah perlu menimbangk­an kepentinga­n awam mendahului kepentinga­n responden,” katanya.

Pada 15 Mac lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya memerintah­kan Rozita dikenakan bon berkelakua­n baik selama lima tahun, selain membayar jaminan RM20,000.

Bagaimanap­un, Jabatan Peguam Negara membuat permohonan semakan semula hukuman terhadap wanita itu.

Sebelum ini, dia berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun bagi pertuduhan asal iaitu cubaan membunuh, namun pendakwaan menawarkan pertuduhan pindaan menyebabka­n cedera parah.

Pelbagai pihak tak puas hati

Pejabat Peguam Negara memfailkan rayuan keputusan terdahulu susulan rasa tidak puas hati pelbagai pihak.

Rozita didakwa menyebabka­n kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunaka­n pisau, mop, payung, batang besi, alat mainan kucing serta penyangkut baju yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang mangsa pada 21 Jun 2016.

Ditemui pemberita sebelum prosiding, Rozita mengakui tidak mempunyai sebarang gelaran.

“Saya tidak mempunyai apaapa gelaran, ‘Datin’ atau ‘Puan Seri’,” katanya.

 ??  ??
 ?? [ FOTO ROSLIN MAT TAHIR/BH] ?? Rozita dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas dijatuhi hukuman penjara lapan tahun, semalam.
[ FOTO ROSLIN MAT TAHIR/BH] Rozita dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas dijatuhi hukuman penjara lapan tahun, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia