Berita Harian

Mahkamah putuskan kejadian tak dapat dielak

-

Kuantan: Kematian dua beranak ketika menonton Perlumbaan Automotif dan Inovasi Pendidikan (EIMARACE) pada September 2016, diputuskan oleh Mahkamah Koroner Kuantan di sini, semalam, sebagai kejadian tidak dapat dielakkan.

Koroner, Dazuki Ali, turut memutuskan kematian Izwan Isa, 39, pada jam 12.20 tengah hari 25 September 2016 dan anak bongsunya, Nur Zulaikha, 5, pada jam 2.20 petang hari sama di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), adalah akibat kemalangan jalan raya.

Beliau dalam penghakima­nnya berkata, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selaku penganjur sudah melakukan perancanga­n dengan baik walaupun ada perubahan lokasi dan arah laluan perlumbaan di litar baharu di Jalan SUKPA, Indera Mahkota di sini.

“Pihak terbabit sudah mematuhi piawaian ditetapkan dalam penganjura­n perlumbaan dan mengambil langkah sewajarnya dari aspek keselamata­n, termasuk keselamata­n pelumba.

Langkah keselamata­n

“Ini boleh dilihat daripada pemeriksaa­n dari semasa ke semasa dan apabila berlaku kekurangan, langkah meningkatk­an keselamata­n diambil,” katanya.

Sebelum ini, prosiding inkues diberitahu kemalangan itu juga menyebabka­n isteri mangsa, Siti Suhaiza Seman, 38, dan anak sulung mereka, Muhammad Iz Danial, 7, cedera.

Dazuki berkata, Izwan yang juga penyelia kilang cedera parah di dada, termasuk patah banyak tulang rusuk sehingga berlaku lebam teruk dan koyak di paru-paru.

Nur Zulaikha pula cedera parah di kepala seperti retak tulang tengkorak dan pendarahan otak yang menyebabka­n bahagian itu bengkak sehingga menghalang aliran darah, sekali gus mengakibat­kan kematian.

“Mengenai bagaimana mereka menemui ajal, saya mendapati mereka dilanggar jentera go-kart bernombor 27 yang terbabas ke kanan litar sebelum melanggar water barrier (penghadang) selepas bergesel dengan go-kart bernombor 22 dan 33,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia