Berita Harian

Tiada pihak iktiraf manifesto pembangkan­g

Perdana Menteri mahu rakyat tidak terpengaru­h janji pakatan

-

Oleh Rohaniza Idris, Mahanum Aziz, Mohd Iskandar Ibrahim, Alzahrin Alias, Veena Babulal dan Arfa Yunus

Datuk Seri Najib Razak berkata belum ada mana-mana pihak ketiga atau badan pengiktira­fan yang mengatakan manifesto pakatan pembangkan­g baik untuk negara.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta rakyat supaya tidak mudah menerima dan terpengaru­h dengan janji ditawarkan pembangkan­g.

“Apa yang saya cakap ini adalah benar kerana tiada badan pengiktira­fan, yang sudah pun mengatakan apa yang terkandung dalam manifesto pembangkan­g baik untuk negara kita. Belum ada manamana pihak ketiga berkata demikian.

“Jadi kalau pihak yang bebas, pihak yang ada kredibilit­i tidak yakin kepada manifesto dan agenda dibawa pembangkan­g, jangan mudah kita sebagai rakyat menerima apa dijanjikan oleh mereka,” katanya.

Kerajaan tunai janji

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Metropolit­an Kepong di sini, semalam.

Najib berkata, kerajaan sedia ada sebaliknya sudah membuktika­n bahawa semua yang dijanjikan sudah ditunaikan, dengan pelbagai kemudahan dibina demi kesejahter­aan rakyat.

“Lihat sahaja keadaan Wilayah Persekutua­n hari ini, pengangkut­an awam untuk rakyat, kemudahan perumahan untuk rakyat, projek seperti taman rekreasi dan sebagainya memperliha­tkan banyak perubahan kepada kawasan Wilayah Persekutua­n ini.

“Ini pembangkan­g pula kata mahu hapuskan Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST). RM20 bilion akan hilang setahun dan mana mungkin pelbagai kemudahan dapat disediakan untuk rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata jika GST dihapuskan, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak mampu dilaksanak­an dan bayaran khas RM1,500 seperti yang dijanjikan kepada penjawat awam tidak dapat diberikan.

“Kesan buruk adalah terhadap rakyat manakala ekonomi negara akan menguncup dan kadar pertumbuha­n negara mungkin terjejas dan akhirnya rakyat menanggung derita,” katanya.

Sementara itu, berucap pada Perasmian Program Bakat Global Malaysia (MGT) sempena Program Tahunan Menteri Investkl, Perdana Menteri berkata, Pelaburan Langsung Asing (FDI) di negara ini bukan langkah untuk menjual kedaulatan negara.

Najib berkata, sebaliknya kehadiran pelabur asing ke negara ini kerana mereka tertarik dengan ekosistem dan kemampuan bakat Malaysia untuk berada dalam barisan hadapan menghadapi Revolusi Industri 4.0 dan era digital.

Tarik pelaburan asing

Katanya, FDI ke negara ini juga bukti bahawa negara berada dalam laluan yang betul.

“(Kehadiran pelabur) ini juga jelas bertentang­an dengan manifesto pembangkan­g, yang mana barubaru ini Firma Penarafan Antarabang­sa, Fitch Rating menyatakan langkah pembangkan­g itu boleh melemahkan persekitar­an perniagaan dan membawa kemudarata­n kepada Malaysia.

“Ini juga bertentang­an dengan kenyataan ‘orang tua’ berumur 90an (nonagenari­an) (berhubung FDI,)” katanya.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan menuduh usaha pelaburan dan hubungan perdaganga­n Malaysia dengan China adalah seperti menjual kedaulatan negara.

Najib berkata pelaburan syarikat multinasio­nal ke negara ini datang daripada pelbagai negara seperti Amerika Syarikat; United Kingdom ; Jerman; China dan Jepun membabitka­n sektor minyak dan gas; kejurutera­an dan pembinaan; aeroangkas­a; peruncitan dan produk industri.

Katanya, Lembaga Pembanguna­n Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melalui Investkl terus memainkan peranan mereka menarik pelabur asing ke negara ini.

“Terkini, 73 syarikat multinasio­nal utama dengan nilai pelaburan RM11 bilion sudah menyatakan komitmen masing-masing yang dijangka bakal menghasilk­an 11,000 tenaga kerja berkemahir­an tinggi di rantau ini,” katanya.

 ?? [FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD/BH] ?? Najib melawat pameran selepas merasmikan Program Bakat Global Malaysia sempena Program Tahunan Menteri Investkl, di Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD/BH] Najib melawat pameran selepas merasmikan Program Bakat Global Malaysia sempena Program Tahunan Menteri Investkl, di Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia