Berita Harian

Selangor gagal rayu semakan kehakiman

Panel tiga hakim sebulat suara putuskan cadangan tidak boleh dicabar

- Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

Kerajaan Selangor semalam gagal dalam rayuan semakan kehakimann­ya untuk mencabar proses cadangan persempada­nan semula kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu oleh Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR).

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Ahmadi Asnawi sebulat suara menolak rayuan kerajaan negeri selepas memutuskan notis dan cadangan persempada­nan semula di negeri itu tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman mengikut Aturan 53 Kaedah 2(4) Kaedah Mahkamah 2012.

Yang turut bersidang, Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Vernon yang membacakan penghakima­n, berkata panel bersetuju dengan hujahan Peguam Kanan Persekutua­n untuk SPR bahawa forum yang sesuai untuk mengemukak­an aduan berhubung proses persempada­nan semula adalah melalui inkuiri tempatan mengikut Seksyen 5 Jadual Ke-13 Perlembaga­an Persekutua­n.

Katanya, oleh itu mahkamah berpandang­an bahawa sebarang tindakan oleh SPR berhubung aduan yang dikemukaka­n membabitka­n cadangan persempada­nan semula itu tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Kami juga memutuskan bahawa, walaupun dakwaan berhubung salah pembahagia­n kawasan dan manipulasi pilihan raya (gerrymande­r) tidak dipertikai­kan, Daftar Pemilih prinsipal adalah muktamad dan mengikat serta tidak boleh dicabar di mahkamah mengikut Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958.

Tak perlu campur tangan

“Berhubung isu daftar pemilih, kami bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi bahawa ketepatan daftar pemilih juga tidak boleh dicabar di mahkamah walaupun daftar berkenaan mungkin tidak sepenuhnya merekodkan alamat semua pengundi.

“Kami juga bersetuju dengan keputusan hakim itu bahawa maklumat yang disediakan SPR dalam cadangan persempada­nan semula mengikut Seksyen 4 Akta Pilihan Raya, tidak memerlukan campur tangan mahkamah yang lebih tinggi,” katanya.

Vernon berkata, mahkamah turut berpandang­an bahawa tidak perlu untuk menyentuh mengenai isu sama ada rayuan itu kini bersifat akademik.

Pada prosiding semalam, Selangor diwakili peguam, Datuk Cyrus Dass dan Latheefa Koya, manakala barisan Peguam Kanan Persekutua­n diketuai Datuk Amarjeet Singh bertindak bagi pihak SPR dan Pengerusin­ya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah serta Setiausaha­nya, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Pada 7 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman dikemukaka­n Selangor bagi mencabar proses cadangan persempada­nan semula di kawasan Parlimen dan DUN negeri terbabit.

Hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan, membuat keputusan itu selepas mendapati ia terikat kepada dua keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini bahawa kerajaan negeri tiada hak dari segi Perlembaga­an untuk mencabar sama ada munasabah cadangan persempada­nan semula, walaupun skop semakan kehakiman sudah diperluas.

Dalam permohonan semakan kehakimann­ya, Kerajaan Selangor, yang diwakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memohon perisytiha­ran bahawa cadangan persempada­nan semula oleh SPR pada 2016, yang tidak mematuhi Fasal 2(c) dan 2(d) Perkara 113 (2) Jadual Ketiga Belas Perlembaga­an Persekutua­n, sehubungan itu tidak sah dan terbatal.

Kerajaan negeri juga memohon perisytiha­ran bahawa kegagalan SPR menggunaka­n rang daftar pemilih terbaru dalam urusan persempada­nan semula melanggar peruntukan dalam perlembaga­an mengikut Seksyen 3 Jadual Ketiga Belas Perlembaga­an Persekutua­n, oleh itu ia tidak sah dan terbatal.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia