Berita Harian

Ketua AMK Ampang diperintah bela diri

Adam didakwa enam tuduhan kemuka pernyataan, dokumen palsu

- Oleh Farah Marshita Abdul Patah farahmarsh­ita@nstp.com.my Kuala Lumpur

Mahkamah Sesyen di sini, semalam memerintah­kan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah, membela diri atas enam tuduhan mengemukak­an pernyataan dan dokumen palsu, Februari tahun lalu.

Hakim Allaudeen Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktika­n kes prima facie terhadap Adam Rosly, 31.

Tiga hari perbicaraa­n

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan tiga hari bermula 4 April ini untuk perbicaraa­n kes.

Terdahulu, Adam Rosly yang hadir ke mahkamah berkemeja putih dan seluar biru kelihatan tenang sebaik mahkamah membacakan keputusan itu.

Sebelum ini, seramai 11 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang tujuh hari perbicaraa­n.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Adam Rosly didakwa memberi pernyataan palsu ketika percakapan­nya dirakam dua pegawai penyiasat Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pernyataan itu berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan, sumber pendapatan, hasil jualan kenderaan, banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu, Ampang, yang dibeli secara tunai, pinjaman wang daripada along RM500,000 dan pinjaman RM200,000 daripada ibu mentua dan neneknya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat SPRM, Putrajaya, antara jam 9 pagi hingga 12.15 tengah hari pada 10 Februari 2017 dan antara jam 9 pagi hingga 2 petang, pada 22 Februari 2017.

Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, dia didakwa menggunaka­n dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujua­n pinjaman wang daripada dua individu serta dua baucar tunai daripada syarikatny­a, Gegas Mentari Holding Sdn Bhd dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 ?? [FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/BH] ?? Adam Rosly hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membabitka­n tuduhan mengemukak­an pernyataan dan dokumen palsu, semalam.
[FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/BH] Adam Rosly hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membabitka­n tuduhan mengemukak­an pernyataan dan dokumen palsu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia