Berita Harian

Pusat STEM Kedah lahir anak muda minat sains, inovasi

Projek di Taman Teknologi Tinggi Kulim babit kos RM600,000 dedah pelajar bidang inovasi

- Oleh Suzalina Halid

Kerajaan negeri berhasrat melahirkan lebih ramai generasi muda di Kedah yang mempunyai kebolehan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejurutera­an dan Matematik (STEM) dalam memenuhi keperluan pasaran kerja pada masa depan.

Pembabitan pelajar di Kedah dalam bidang STEM amat penting untuk memastikan mereka boleh mengisi ruang pekerjaan yang bakal diwujudkan, melalui pelbagai projek mega yang ingin dilaksanak­an di negeri ini khususnya Bandaraya Getah dan Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP).

Justeru, kerajaan negeri melalui persetujua­n Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, sepakat menubuhkan pusat STEM negeri yang berperanan sebagai pusat sehenti bagi melatih pelajar khususnya melalui aspek inovasi.

Pusat yang dibangunka­n di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dengan kos RM600,000 pada 2016 itu, turut menjalinka­n kerjasama dengan 200 sekolah melalui pelbagai program bagi memberi pendedahan buat pelajar terhadap bidang inovasi.

Pusat ini dilengkapi dengan dron, kit dan robotik, pencetak 3d, komputer riba bagi kemudahan membuat kod serta sudut reka cipta.

Pengerusi Jawatankua­sa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia negeri, Datuk Norsabrina Mohd Noor, berkata pada peringkat Nasional hanya 20 peratus pelajar mengambil subjek Sains manakala di Kedah bawah 18 peratus.

“Kita perlu melakukan sesuatu untuk menukar mentaliti pelajar bahawa subjek Sains tidak sukar. Inisiatif Kedah membangunk­an pusat STEM adalah selari dengan perancanga­n Kerajaan Pusat, yang ingin menubuhkan pusat sama pada peringkat kebangsaan untuk menarik lebih ramai golongan pelajar meminati empat bidang ini.

“Melalui pusat STEM, kita mahu pelajar seronok dan teruja bermain dengan kit serta robotik yang merupakan elemen dalam sains dan inovasi,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Tambah Norsabrina, dalam tempoh dua tahun ini pusat STEM Kedah melatih 7,000 pelajar dan mereka diberi sijil penghargaa­n selepas berjaya melakukan enam aktiviti berkaitan dengan inovasi serta sains.

Kerjasama dengan sekolah

“Kerajaan negeri juga bekerjasam­a dengan sekolah apabila menghantar pelatih memberi latihan kepada pelajar sebelum bakat mereka diketengah­kan ke pertanding­an inovasi sama ada pada peringkat kebangsaan dan antarabang­sa.

“Melalui kerjasama itu, kita mendapati sebenarnya ramai pelajar, termasuk dari luar bandar mempunyai kebolehan dalam aspek sains dan inovasi, tinggal lagi golongan ini hanya memerlukan satu saluran khusus untuk mengenenga­hkan mereka.

“Sebelum ini, pelajar dan guru seperti tiada satu pusat khusus untuk mereka rujuk bagi menghantar peserta menyertai pertanding­an inovasi.

“Jadi sekarang mereka hanya perlu datang kepada kita untuk mendapatka­n nasihat.

“Kami berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan industri kilang di KHTP bagi pembanguna­n Pusat STEM Kedah,” katanya.

Norsabrina berkata, pelbagai kejayaan dilakar Pusat STEM Kedah, termasuk yang terbaru melalui penyertaan di Kaohsiung Internatio­nal Invention and Design Expo 2017 di Taiwan.

“Dalam pertanding­an prestij ini, peserta kita memperoleh pingat emas dan Anugerah Khas dari Korea University Invention Associatio­n.

“Pelajar dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa ini adalah johan Kedah Young Innovate (KYI) 2017 iaitu pertanding­an dianjurkan Pusat STEM Kedah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Selain itu, pasukan inovasi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sin Min yang menyertai pertanding­an KIY 2016 turut menghantar penyertaan ke pertanding­an Inovasi antarabang­sa di Kanada tahun lalu dan berjaya menang pingat emas.

“Pasukan inovasi Sains dari SMK Ibrahim juga menyertai pertanding­an Inovasi Sains di Amerika Syarikat tahun lalu, selain pertanding­an inovasi di Bangkok membabitka­n penyertaan dari tiga sekolah,” katanya.

Norsabrina berkata, Pusat STEM juga berjaya menarik perhatian pihak antarabang­sa apabila Universiti Gent di Belgium mengundang Kedah, iaitu satu-satunya negeri yang dipilih ke sana pada Mei nanti bagi mengikuti pertanding­an Robotik Dwango.

“Dengan pelbagai kejayaan ini, besar harapan kerajaan negeri untuk melihat anak Kedah mencipta produk inovasi, yang mempunyai nilai komersial melalui STEM Kedah pada masa akan datang.

“Kita cukup dikenali sebagai negeri jelapang padi yang berasaskan pertanian. Kalau boleh, selepas ini kita mahu dikenali sebagai tempat melahirkan lebih ramai saintis dan pencipta,” katanya.

Terharu sokongan kerajaan

Tiga anak muda dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa yang berjaya mengharumk­an nama Kedah di pertanding­an Kaohsiung Internatio­nal Invention and Design Expo 2017 di Taiwan November lalu, terharu dengan usaha kerajaan negeri yang menaja sepenuhnya perbelanja­an mereka.

Kumpulan dianggotai Nur Azwa Hisham, 17, Ilman Hakim Quairulanu­ar, 17, dan Muhamad Asshmar Haiqal Zamri, 15, bukan sahaja menang pingat emas pada pertanding­an itu, malah mendapat Anugerah Khas dari Korea University Invention Associatio­n.

Di bawah bimbingan guru Zuraini Johari, mereka mempertaru­hkan hasil inovasi dinamakan green synthesis of silver nanopartic­les with effective anti-microbial properties, iaitu pengekstra­kan zarah perak bentuk nano menghasilk­an bahan anti bakteria.

Sementara itu, Ilman Hakim memuji usaha kerajaan negeri menubuhkan Pusat STEM Kedah kerana menggalakk­an lebih ramai pelajar meminati bidang STEM.

Katanya, pusat itu juga berperanan penting dalam memberi pendedahan buat anak muda sepertinya mendalami ilmu inovasi.

“Anak Kedah amat beruntung kerana mempunyai pusat STEM dan ia harus dimanfaatk­an sepenuhnya,” katanya.

Muhamad Asshmar, yang bercita-cita menjadi saintis turut berbangga dilahirkan sebagai anak Kedah kerana pelbagai peluang dan ruang diberikan bagi membantu anak muda sepertinya mencapai impian untuk cemerlang dalam bidang STEM.

Meminati Sains dan Inovasi sejak kecil, Muhamad Asshmar berharap kerajaan negeri melalui STEM Kedah akan terus memperting­katkan segala kelengkapa­n di pusat berkenaan bagi kegunaan masa depan.

“Saya mempunyai impian besar dalam bidang ini kerana ingin mencari penawar bagi penyakit yang belum ditemui kaedah rawatannya seperti HIV/AIDS.

“Dengan adanya pelbagai sokongan serta bantuan diberikan kerajaan negeri, harap cita-cita saya tercapai,” katanya.

Sementara itu, Zuraini berkata, melalui STEM Kedah tenaga pengajar sepertinya banyak diberi pendedahan oleh kerajaan negeri dan JPN melalui kursus dan bengkel mengenai bidang berkenaan.

Katanya, melalui kursus dan bengkel diadakan, ia mampu meningkatk­an pengetahua­n dan kebolehan guru dalam membimbing pasukan inovasi di sekolah ke tahap lebih tinggi.

Melalui pusat STEM, kita mahu pelajar seronok dan teruja bermain dengan kit serta robotik yang merupakan elemen dalam sains dan inovasi” Norsabrina Mohd Noor, Pengerusi Jawatankua­sa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia Kedah

 ??  ??
 ??  ?? Zuraini (kanan) bersama Ilman Hakim (kiri) dan Muhamad Asshmar Haiqal di samping hadiah yang dimenangi dalam pertanding­an yang disertai mereka.
Zuraini (kanan) bersama Ilman Hakim (kiri) dan Muhamad Asshmar Haiqal di samping hadiah yang dimenangi dalam pertanding­an yang disertai mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia