Permodalan pasaran firma strategik meningkat
Catat prestasi membanggakan dalam dua bulan pertama 2018
Permodalan Nasional Bhd (PNB) meraih pertambahan modal pasaran yang ketara sebanyak RM39.5 bilion di bawah 10 syarikat strategik miliknya seperti disasarkan pada tahun kewangan 2017, menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif.
Jumlah keseluruhan permodalan pasaran bagi 10 syarikat berkenaan setakat semalam adalah RM202.7 bilion. Syarikat berkenaan adalah Malayan Banking Bhd, UMW Holdings Bhd, Sime Darby Bhd, Sime Darby Plantation Bhd, Sime Darby Property Bhd, SP Setia Bhd, UMW Oil and Gas Bhd, Chemical Company Malaysia Bhd, CCM Duopharma Biotech Bhd dan MNRB Holdings Bhd.
Agregat pasaran semua syarikat RM6.3 bilion
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata dalam dua tempoh bulan pertama tahun ini, kumpulan mencatatkan prestasi membanggakan dengan peningkatan tahunan aset di bawah pengurusan (AUM) dan pendapatan bersih keseluruhan masing-masing sebanyak 6.1 peratus dan 39.5 peratus kepada RM279.6 bilion dan RM2.2 bilion.
Beliau berkata, dengan perkembangan itu, nilai agregat pasaran semua syarikat strategiknya meningkat RM6.3 bilion bagi tempoh Januari hingga 28 Mac tahun ini.
Katanya, PNB terus optimis dengan ekonomi global yang diunjurkan berkembang sebanyak 3.9 peratus oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada tahun ini.
“Kumpulan berharap 2018 akan memberi kesan baik kepada ekonomi tempatan dan pasaran saham yang akan membawa peluang perniagaan dan pekerjaan di samping prestasi dana lebih baik kepada Kumpulan.
“Tahun 2017 adalah tahun pertama pelaksanaan Pelan Strategik PNB 2017-2022 atau STRIVE-15 yang mana beberapa inisiatif terbukti berhasil, sementara asas untuk inisiatif lain dilaksanakan sepenuhnya pada 2018 dan seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman Laporan Tahunan 2017 dan Suku Pertama 2018 serta pengagihan pendapatan lima unit amanahnya di Kuala Lumpur, semalam.
Beri pulangan konsisten
Strategi STRIVE-15 itu turut membolehkan PNB terus memberi pulangan yang konsisten dalam pasaran dengan sasaran AUM mampu mencecah sehingga RM350 bilion menjelang 2022.
Abdul Wahid berkata, pihaknya turut menyasarkan pelaburan swasta PNB mampu untuk meningkat sehingga lima peratus dalam tempoh beberapa tahun berbanding 1.9 peratus yang dicapai ketika ini.
Malah, beliau juga menjangkakan dengan unjuran ekonomi negara yang positif, ia mampu untuk merangsang pertumbuhan dalam pendapatan sektor korporat dan menyumbang kepada prestasi kukuh pasaran.