Berita Harian

Sindiket tipu PERKESO, insurans tumpas

Pengerusi badan kebajikan disyaki dalang utama babit kerugian RM2.4J

- Oleh Nor Azizah Mokhtar

Seorang pengerusi sebuah badan kebajikan disyaki menipu tuntutan pencen ilat Pertubuhan Keselamata­n Sosial (PERKESO) serta insurans ahlinya yang sakit dan cacat, membabitka­n kerugian RM2.4 juta.

Bagaimanap­un, kegiatan lelaki berusia 34 tahun yang juga dalang utama bersama sembilan lagi rakan subahatnya terbongkar selepas PERKESO dan empat syarikat insurans, membuat 24 laporan polis, tahun lalu.

Ini berikutan siasatan dalaman mereka mengesan kewujudan tuntutan mencurigak­an didalangi sindiket berkenaan sejak 2016.

Sindiket itu dikesan memanipula­si laporan perubatan pihak hospital bagi membolehka­n mereka membuat tuntutan PERKESO dan insurans dengan menukar ‘pesakit’ ketika melakukan pemeriksaa­n kesihatan serta imbasan X-ray.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, berkata individu yang hendak mengemukak­an tuntutan akan berpura-pura sakit diserang angin ahmar atau mengalami kecacatan akibat kemalangan ketika membuat pendaftara­n di hospital.

“Namun, ketika menjalani proses ujian kesihatan dan x-ray, individu berpura-pura itu akan ditukar dengan individu lain yang memang mengalami angin ahmar atau kecacatan.

“Selepas proses selesai, individu yang sihat mengambil semula tempatnya dan berpura-pura sakit semula ketika bertemu doktor ketika mendapatka­n keputusan laporan perubatan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Beliau berkata, dalang utama menggunaka­n kedudukann­ya sebagai pengerusi badan kebajikan menyebabka­nnya mempunyai hubungan dengan individu yang sakit dan cacat.

Ada terima upah

“Ada antara mereka itu diperguna, namun ada juga menerima sejumlah upah,” katanya.

Amar Singh berkata, siasatan mendapati sehingga kini sindiket itu membuat tuntutan sebanyak RM1.2 juta daripada PERKESO dan RM1.2 juta daripada dua syarikat insurans menggunaka­n nama 24 individu serta alamat sebuah syarikat.

“Syarikat berkenaan didaftarka­n oleh sindiket ini atas perniagaan yang tidak wujud bagi membolehka­n ‘pekerjanya’ membuat caruman PERKESO selama 24 bulan terlebih dahulu sebelum layak membuat tuntutan.

“Sindiket ini turut dikesan cuba membuat tuntutan lain ke atas dua syarikat insurans lain membabitka­n tuntutan berjumlah RM2.4 juta,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan menumpaska­n sindiket itu menyelamat­kan wang tuntutan berjumlah hampir RM30 juta oleh PERKESO kerana pencen ilat membabitka­n pembayaran pencen seumur hidup kepada pemohon.

“Antara individu yang dikesan membuat tuntutan palsu itu ialah suspek utama, ibu dan ayahnya, pemandu serta keluarga terdekat lelaki itu.

“Semua suspek termasuk dua wanita berusia antara 34 tahun hingga 60 tahun ditahan dalam beberapa serbuan sekitar Sepang pada 13 Mac lalu,” katanya.

Beliau berkata, sebahagian suspek masih direman dan sebahagian lagi dibebaskan dengan jaminan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ketika jalani proses ujian kesihatan dan x-ray, individu berpurapur­a itu akan ditukar dengan individu lain yang memang mengalami angin ahmar atau kecacatan” Amar Singh Ishar Singh, Pengarah JSJK Bukit Aman

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia