Berita Harian

Azroy akui tertekan buru emas di Gold Coast

- Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Atlet angkat berat negara, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad mengakui tertekan apabila diletakkan harapan untuk menyumbang emas pertama negara pada Sukan Komanwel Gold Coast bermula 4 April ini.

Bagaimanap­un bagi Azroy, dia mempunyai cara tersendiri untuk meredakan tekanan itu dan berharap mampu melakukan yang terbaik demi negara.

Antara yang dilakukan oleh atlet berusia 24 tahun itu adalah dengan menghubung­i ibunya Rohana Ahmad di kampung halamannya Rompin untuk meminta restu dan doa.

“Memang saya akui berasa sedikit tertekan dan bimbang tapi saya akan cuba mengatasi perkara itu.

“Apa pun saya sudah bersedia beraksi dan jika boleh selain memburu emas saya mahu cuba memecahkan rekod temasya 117kg dalam snatch dan 146kg dalam clean and jerk,” katanya.

Azroy akan beraksi pada hari kedua temasya 5 April ini dalam acara 56 kilogram sekali gus memburu hadiah ulang tahun kelahirann­ya yang jatuh pada hari pembukaan temasya itu.

Kejayaanny­a mengatasi rekod kebangsaan ketika latihan memberi motivasi buatnya memburu kejayaan di Gold Coast.

Dua kali pecah rekod

“Alhamdulil­lah, latihan di Vietnam memang amat membantu, saya berjaya memecah rekod kebangsaan sebanyak 10kg ketika latihan dan harapnya momentum ini dapat diteruskan di Gold Coast nanti,” katanya.

Atlet dari Pahang itu antara prospek terbaik negara dalam sukan angkat berat selepas ketiadaan Hafifi Mansor yang digantung akibat doping.

Kontinjen angkat berat negara akan diwakili 10 peserta terdiri daripada Azroy, Fazrul Azrie Mohdad (85kg), Aznil Bidin (62kg), Norfarhan Ideris (105kg), Abdul Mubin Rahim (77kg), Erry Hidayat (69kg), Siti Aisyah Md Rosli (90kg), Sharifah Inani Najwa Syed Anuar (53kg), Marlyne Marceeta (58kg) dan Jabriella Teo Samuel (75kg).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia