Berita Harian

Skuad ragbi tak takut tempur

Bakal hadapi pasukan gergasi seperti Afrikasela­tan, Scotland, Papua New Guinea

- Oleh Fadhli Ishak

Saingan acara ragbi tujuh sebelah (7s) di Sukan Komanwel sentiasa memberikan cabaran sukar dan temasya kedua terbesar dunia itu bakal menguji kemampuan skuad negara supaya tidak lagi menjadi pasukan belasahan.

Skuad kendalian Saizul Hafifi Md Noor bakal berdepan kuasa besar, Afrika Selatan dan Scotland - yang belum pernah ditemui sebelum ini - serta Papua New Guinea dalam saingan Kumpulan A.

Ragbi Malaysia (MR) sedar tugasan berat yang menanti mereka dan tidak meletakkan sebarang sasaran tinggi pada saingan yang akan berlangsun­g di Stadium Robina dari 13 hingga 15 April itu.

Sekali lagi, Papua New Guinea menjadi sasaran utama untuk mengutip mata pada peringkat kumpulan tetapi ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Malaysia belum pernah menewaskan Papua New Guinea dalam tiga pertemuan di Sukan Komanwel sebelum ini dan sebarang peluang untuk mencapai sasaran berada dalam kelompok 12 terbaik bergantung kepada perlawanan di peringkat kumpulan.

Dalam usaha memantapka­n lagi pasukan, MR membawa masuk bekas kapten skuad tujuh sebelah New Zealand, DJ Forbes bagi membantu persiapan skuad negara minggu ini.

Tercorot di Glasgow

Setiausaha Kehormat MR, Jamaluddin Salim bagaimanap­un menegaskan saingan di Gold Coast antara persiapan pasukan untuk menghadapi Sukan Asia di Indonesia, Ogos depan.

Skuad negara tewas semua perlawanan dan menamatkan saingan di tangga tercorot ketika Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland empat tahun lalu.

“Sukan Komanwel adalah pertanding­an peringkat tinggi kerana majoriti negara yang menjadi kuasa besar ragbi bertanding,” kata Jamaluddin.

“Sasaran utama kami tahun ini adalah memenangi pingat buat pertama kali di Sukan Asia. Sukan Komanwel akan membantu kami membuat persiapan bagi temasya itu dan bermain menentang pasukan terbaik dunia akan memberi pengalaman terbaik buat pemain.

“Tidak realistik untuk meletakkan harapan terlalu tinggi kepada pasukan, kami cukup gembira jika dapat memenangi satu per- lawanan di peringkat kumpulan.”

Saizul mempertaru­hkan skuad muda tetapi berpengala­man untuk temasya di Gold Coast dengan kebanyakan pemain daripada skuad emas Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu.

Kapten Zulkifli Azmi, Siddiq Amir Jalil, Wan Izzuddin Ismail, Ameer Nasrun Zulkeffli, Mohamad Safwan Abdullah dan Zhariff Affandi Mohamed Zahib dijangka memperkuat­kan pasukan di Gold Coast nanti.

 ??  ?? Skuad ragbi negara 7 sebelah yang akan beraksi di Sukan Komanwel, Australia.
Skuad ragbi negara 7 sebelah yang akan beraksi di Sukan Komanwel, Australia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia