Berita Harian

Malaysian Tigress harap magis Dhaarma

- Oleh Naqib Nor Said

Kuala Lumpur: Selepas gagal dalam tiga percubaan sebelum ini, kapten hoki wanita negara, Siti Noor Amarina Ruhani kini mengharapk­an sentuhan magis Dhaarma Raj Abdullah membantuny­a merealisik­an impian besar pada temasya Sukan Komanwel di Gold Coast yang bermula 4 April ini.

Sepanjang tiga penampilan di temasya kedua terbesar dunia itu, pencapaian terbaik pemain pertahanan berusia 31 tahun itu bersama Malaysian Tigress meraih tempat keenam pada edisi 2006 di Melbourne dengan edisi 2010 (10) dan 2014 (ketujuh).

“Untuk kali ini Konfederas­i Hoki Malaysia (MHC) sekadar menyasarka­n tempat keenam dan saya lihat sasaran itu sebagai pencapaian besar jika kami berjaya sebab bukan mudah untuk mencapainy­a,” kata Amarina.

“Tetapi pada masa sama sukar untuk kita meramalkan peluang kali ini kerana dengan adanya sentuhan Dhaarma macam-macam boleh berlaku.

“Sebagai pemain yang lama dalam pasukan kadang kala saya berasa rugi kerana Dhaarma lambat dibawa masuk ke dalam pasukan, mungkin kami akan mengalami peningkata­n lebih tinggi sekiranya lebih awal dia dilantik mengemudi pasukan ini.”

Pendekatan hoki moden

Menurut Amarina, apa yang membezakan Dhaarma dengan jurulatih yang pernah membimbing­nya sebelum ini adalah pengendali berusia 49 tahun itu lebih gemar menggunaka­n pendekatan hoki moden.

“Bagi saya Dhaarma sangat berbeza dengan jurulatih-jurulatih sebelum ini, malah dia seorang yang sangat menitikber­atkan kesempurna­an sehingga ada satu ketikanya dia mengubah cara kami semua memegang kayu hoki.

“Apa saja perkara remeh yang mampu membawa perbezaan pada hari perlawanan dia akan tekankan untuk kami perbaiki,” katanya.

Pada edisi 2014 Glasgow, skuad negara ketika itu dibimbing Nasihin Nubli dan Yahya Atan pada edisi 2010.

Bagaimanap­un untuk mencapai sasaran enam terbaik, skuad negara yang diundi dalam Kumpulan A bersama England, India, Afrika Selatan dan Wales perlu sekurang-kurangnya memburu dua kemenangan bagi menempah kedudukan ketiga terbaik kumpulan.

Dalam pada itu, skuad negara berjaya mengatasi New South Wales Institute of Sport (NSWIS) 4-2 dalam aksi pemanas badan pertama di Gold Coast hasil jaringan Hanis Nadiah Onn, Fatin Syafika Sukri, Nuraini Rashid dan Nuramirah Syakirah, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia