Berita Harian

Thana lega kecederaan lutut kanan makin pulih

- Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Tempoh rehat panjang tanpa perlawanan Liga Super memberi ruang buat penyerang muda Negeri Sembilan, N Thanabalan untuk pulih daripada kecederaan lutut kanan yang membelengg­unya lebih sebulan lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu berkata, dia berasa amat lega kerana kecederaan yang dialami ketika menentang Terengganu di Paroi pada 23 Februari lalu sudah hampir 100 peratus pulih dan yakin tahap kecergasan­nya akan kembali ke tahap terbaik dalam tempoh terdekat.

“Saya sudah boleh menjalani latihan penuh sejak dua minggu lalu. Ini satu perkembang­an menggembir­akan kerana saingan liga akan kembali bersambung 14 April ini.

“Dengan baki tempoh masa yang masih ada sebelum perlawanan menentang Kelantan, saya harap mampu mencapai tahap prestasi terbaik bagi meneruskan perjuangan pasukan dalam liga.

Tunggu Kelantan

“Tambahan pula, Negeri Sembilan perlu bangkit bagi memastikan pasukan dapat keluar daripada kelompok terbawah carta liga,” katanya di sini, semalam.

Aksi terakhir Negeri Sembilan dalam liga mengecewak­an apabila mereka dibelasah Pahang 4-0 di Kuantan pada 10 Mac lalu.

Skuad itu yang kini dibimbing bekas pengendali kebangsaan, Azraai Khor Abdullah akan menanti kunjungan Kelantan pada 14 April depan.

Pemain berasal dari Rantau itu berkata, dia dan rakan sepasukan mempunyai tanggungja­wab besar dalam memastikan pasukan itu dapat terus bersaing dalam liga selepas sekadar mencatat satu kemenangan daripada lima perlawanan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia