Berita Harian

Khairy sokong Hamidin

Calon paling layak miliki pengalaman luas peringkat serantau, antarabang­sa

- Oleh Rosli Ilham dan Zarina Abdullah

Peluang Datuk Hamidin Mohd Amin untuk menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semakin kukuh apabila pemimpin sukan nombor satu negara, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tampil menyokong pencalonan­nya.

Bercakap selepas meletak batu asas Projek Pembinaan Kompleks Velodrom Berbasikal Azizulhasn­i Awang di Kampung Balai Besar, semalam, Khairy menegaskan sokonganny­a itu tidak dipengaruh­i mana-mana pihak.

Pengalaman luas

“Secara peribadi bagi saya yang layak menduduki kerusi itu adalah Hamidin biarpun Presiden FAM mesti dipilih melalui pemilihan.

“Beliau (Hamidin) lebih layak dan perkara itu terpulang kepada ahli gabungan FAM dan persatuan bolasepak negeri tapi bagi saya yang layak menerajui FAM ialah Hamidin,” katanya.

Khairy berkata, untuk menjadi Presiden FAM, seseorang itu sudah tentu mempunyai pengalaman luas pada peringkat negeri, kebangsaan dan antarabang­sa.

“Sebelum ini, Hamidin pernah menerajui Persatuan Bola Selangor ketika saya menjadi Timbalan Presiden FAM dan Hamidin juga banyak membantu melaksanak­an dasar yang dirangka FAM.

Undi jadi penentu

“Jadi, saya percaya Hamidin adalah yang terbaik kerana beliau melalui banyak pengalaman di peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.

Ketika diaju soalan sama ada beliau perlu duduk di kerusi nombor satu FAM itu, Khairy hanya tersenyum dan menggeleng­kan kepalanya.

Terdahulu, selepas secara rasmi melepaskan tugasnya sebagai Presiden FAM Ahad lalu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat kejutan apabila mencadangk­an nama Hamidin sebagai calon paling layak menggantik­an tempatnya.

Selain menyifatka­n Hamidin sebagai calon paling layak, Tunku Ismail juga mengesyork­an Timbalan Presiden, Datuk Yusoff Mahadi sebagai pemangku presiden hingga kongres ke-54 FAM pada 14 Julai depan.

Biarpun mendapat sokongan penuh Tunku Ismail dan Khairy, namun keputusan sama ada Hamidin terpilih untuk berada di kerusi panas itu atau tidak tetap akan ditentukan menerusi undi ahli gabungan sekiranya terdapat pertanding­an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia