BNM sekat cubaan pindah dana haram
Bank Negara Malaysia (BNM) pada 27 Mac lalu mengesan satu insiden keselamatan siber membabitkan cubaan untuk memindahkan dana secara haram menggunakan sistem mesej SWIFT palsu.
Dalam satu kenyataan semalam, BNM berkata, transaksi yang cuba dijalankan itu bagaimanapun berjaya disekat menerusi tindakan pantas bank dengan kerjasama SWIFT, bank-bank pusat dan institusi kewangan lain.
Katanya, berikutan kejadian itu, BNM tidak mengalami sebarang kerugian kewangan, malah sistem pembayaran dan penyelesaian lain yang dikendalikan bank pusat itu tidak terjejas.
“BNM sedang menjalankan siasatan secara terperinci berhubung insiden ini dengan kerjasama daripada agensi penguatkuasaan tempatan dan antarabangsa.
Ambil langkah keselamatan
“BNM juga ingin memaklumkan bahawa semua langkah kawalan risiko sedia ada amat berkesan dalam menyekat kejadian seumpama itu daripada berulang,” katanya.
Bagaimanapun, katanya BNM tetap mengambil langkah keselamatan tambahan untuk melindungi pihak berkepentingan.
“BNM juga akan terus berada dalam keadaan berjaga-jaga dan sentiasa bersiap sedia, kerana insiden pada masa hadapan mungkin membabitkan perancangan dan pendekatan yang lebih sofistikated.
“Institusi kewangan juga dinasihati supaya sentiasa berwaspada dalam menghadapi risiko keselamatan siber dan terus mengukuhkan sistem keselamatan masingmasing bagi menghadapi ancaman pencerobohan seperti ini,” katanya.
Pada masa sama, BNM turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa sistem pembayaran dan penyelesaian bank pusat itu kekal tidak terjejas dan terus beroperasi dalam keadaan baik dan selamat.