148 penagih kena tahan
Operasi Perdana AADK selama 48 jam serentak di 8 daerah
Fardy Bungga
Pura-pura tidur nyenyak sehingga memaksa anggota Penguatkuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memecahkan pintu, ada pula yang berlakon kononnya tidak tahu diri positif dadah.
Itu antara gelagat dan alasan 148 penagih yang ditahan sepanjang operasi Perdana AADK selama 48 jam secara serentak di lapan daerah di seluruh Sabah serta Labuan yang berakhir, semalam.
Daerah yang terbabit ialah Kota Kinabalu, Sandakan, Beaufort, Tawau, Keningau, Kudat, Ranau dan Tuaran.
Aduan penduduk
Pengarah AADK Sabah, Bakri Bibi, berkata operasi dijalankan berdasarkan aduan penduduk setempat itu menahan seramai 203 individu, namun hasil ujian saringan air kencing mendapati 148 penagih, termasuk lima wanita positif dadah.
“Tiga individu daripada yang ditahan gagal memberikan dokumen pengenalan diri yang sah dan mereka kemudian diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.
“Empat daripada yang ditahan adalah remaja berusia bawah 18 tahun, manakala selebihnya berusia 19 hingga 55 tahun,” katanya pada sidang media menerusi kenyataan dibacakan Penolong Pengarah Rawatan dan Pemulihan AADK Sabah, Kartina Ujin, semalam.
Bakri berkata, operasi membabitkan 50 anggota dan pegawai bersama agensi penguat kuasa lain termasuk Polis Bantuan FELDA Umas di Tawau.
“Operasi kali ini mensasarkan perumahan atas air, perkampungan luar bandar dan kawasan penempatan perladangan. Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Penagih Dadah 1984 dan Seksyen 6(2) akta yang sama,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi di Tanjung Aru, di sini, seorang pemandu van jenazah ditahan bersama adiknya selepas didapati positif dadah.
Kartina berkata, kedua-dua lelaki berusia 49 dan 46 tahun itu cuba mengelak daripada diperiksa dan enggan membuka pintu walaupun beberapa kali diketuk anggota penguat kuasa.
“Anggota terpaksa memecahkan pintu rumah mereka sebelum menemui kedua-dua lelaki terbabit di ruang tamu bersama seorang bayi. Hasil ujian saringan mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis syabu dan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.