Berita Harian

Perompak gagal larikan pacuan empat roda

Tindakan nekad pekerja selamatkan kenderaan milik majikan

- Oleh Junaidi Ladjana

Tindakan seorang lelaki ‘melompat’ di bonet belakang pacuan empat roda milik majikannya dapat menyelamat­kan kereta itu daripada dilarikan dua penjenayah dalam kejadian samun di Kampung Bukit Belacon, Segama, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu, mangsa berusia 39 tahun luka di kaki dan tangan kanan akibat terseret daripada kenderaan pacuan empat roda yang cuba dilarikan suspek.

Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa dikatakan pulang ke rumahnya untuk mengambil bekalan makanan dan memberhent­ikan kenderaan milik majikan yang dipandunya di hadapan rumahnya dalam keadaan enjin masih hidup.

“Ketika mangsa keluar dari kenderaan, seorang lelaki memakai penutup muka tiba-tiba keluar dari kereta jenis Proton Saga lalu menghampir­i mangsa dan mengacukan sebilah pisau.

“Bimbang keselamata­n mangsa terancam, dia mengundurk­an diri. Suspek itu kemudian masuk ke dalam kenderaan mangsa dan beredar dari lokasi berkenaan.

Lompat dalam bonet

“Ketika kenderaan itu bergerak, mangsa melompat masuk ke dalam bonet belakang dan suspek yang menyedari tindak mangsa terus memecut laju kenderaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sumber berkata, ketika berada di bonet belakang, mangsa mengambil batang besi lalu memecahkan cermin di bahagian sebelah pemandu lalu memukul suspek.

“Akibat pukulan itu, kenderaan dipandu suspek melanggar besi penghadang jalan sebelum memberhent­ikan kenderaan berkenaan di tengah jalan.

“Mangsa kemudian melompat keluar manakala suspek yang disyaki cedera terus melarikan diri dengan menaiki kereta yang dipandu rakan suspek,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian menghubung­i majikannya sebelum memaklumka­n kejadian itu kepada pihak polis bagi mendapatka­n bantuan.

“Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Lahad Datu dengan ambulans,” katanya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahka­n kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan termasuk mengesan suspek berkenaan.

 ?? [FOTO IHSAN PDRM] ?? Kenderaan pacuan empat roda yang cuba disamun dalam kejadian di Kampung Bukit Belacon, Segama, Lahad Datu.
[FOTO IHSAN PDRM] Kenderaan pacuan empat roda yang cuba disamun dalam kejadian di Kampung Bukit Belacon, Segama, Lahad Datu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia