Berita Harian

Kementeria­n kaji akta ubat benarkan promosi luar premis

-

Kuala Lumpur: Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengkaji Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956 (Semakan 1983) dan Peraturan Lembaga Iklan Ubat 1976 bagi membolehka­n iklan yang mempromosi­kan ubat-ubatan dapat dilakukan di luar premis perniagaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata ketika ini, akta berkenaan membenarka­n farmasi untuk mengiklank­an produk seperti ubat-ubatan dalam premis mereka sahaja.

Katanya, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan pihak berkaitan bagi membincang­kan perkara itu dengan lebih lanjut sebelum pindaan dibuat.

“Akta ini (Akta Ubat (Iklan & Penjualan) akta lama. Kita nak tambah baik. Sekarang, mereka cuma boleh iklankan (ubat) dalam premis, bukan di luar.

Tengok semula akta

“Jadi, kita akan tengok semula (akta) boleh atau tidak boleh (pindaan dilakukan). Semua ini kita akan bincang secara terperinci.

“Maksudnya, kita akan buat kerjasama dengan persatuan farmasi. Kita akan panggil bincang apa mereka nak, apa yang boleh dan tak boleh. Kalau boleh, kita pinda,” katanya kepada pemberita selepas sesi interaksi Kapsul@hub2018 sempena Himpunan Usahawan Bumiputera di Axiata Arena di sini, semalam.

Dr Hilmi berkata, pindaan itu hanya membabitka­n peraturan, bukan enakmen.

Berikutan itu, katanya, ia tidak perlu dibawa ke Parlimen untuk membuat pindaan.

“Kalau peraturan senang sahaja kita pinda. Kalau enakmen kena pergi Parlimen. Buat pindaan peraturan, menteri boleh tandatanga­n Timbalan Menteri Kesihatan sahaja sudah cukup,” katanya.

Wujud jawatankua­sa khas

Sementara itu, Pengarah Kanan Perkhidmat­an Farmasi KKM, Salmah Bahri, berkata satu jawatankua­sa khas untuk melakukan pindaan terhadap akta itu akan diwujudkan.

Katanya, jawatankua­sa itu membabitka­n doktor, pegawai farmasi dan pihak berkaitan.

“Kita sudah diberi mandat untuk tubuhkan pasukan bertindak bagi meminda akta iklan itu. Lagipun, pindaan ambil masa, kena tengok satu persatu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia