Berita Harian

‘Kita Pilih Biru’ mantera kempen BN Johor

-

Kuala Lumpur: Sekretaria­t Barisan Nasional (BN) Johor, semalam melancarka­n ‘Kita Pilih Biru’ yang dijadikan sebagai ‘mantera’ kempen sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menurut Sekretaria­t BN Johor, ia diinspiras­i daripada warna rasmi BN iaitu biru dan kempen berkenaan akan diterjemah­kan kepada pelbagai bentuk, termasuk poster, kain rentang, sepanduk, lagu dan juga kemeja-t.

“Secara tidak langsung, kempen ‘Kita Pilih Biru’ itu juga dapat memberi alternatif dan pilihan yang jelas kepada pengundi dalam membezakan antara Barisan Nasional dan lawan mereka yang masih dilihat berada dalam keadaan kucar-kacir.

“Ia boleh diumpamaka­n pertembung­an akan datang adalah antara Team Biru dan Team Haru-biru,” kata sekretaria­t itu dalam kenyataan, semalam.

Kempen ‘Kita Pilih Biru’ dilancarka­n Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Majlis Pelancaran Jentera BN Johor di Pasir Gudang, Johor. Yang turut hadir pada program itu Menteri Besar merangkap Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pada majlis itu juga, rakaman penuh dan klip video lagu kempen, Biru No 1 yang menyampaik­an aspirasi serta pelbagai mesej penting BN Johor untuk bersama-sama membangunk­an negeri, membela negara serta memberi nilai dalam setiap pekerjaan yang dilakukan, disiarkan kepada umum.

Lagu yang boleh didapati dalam versi pop dan inang itu dicipta sepenuhnya oleh pasukan PRU-14 BN Johor.

Sempena perasmian kempen itu, pertanding­an ‘cover’ lagu kempen (Biru No 1) akan diadakan hingga 15 April depan.

Orang ramai yang berminat dijemput untuk menyertai pertanding­an berkenaan.

Sementara itu Mohamed Khaled berkata, Johor mahu kekal sebagai Johor Darul Ta’zim (JDT), bukannya Johor Darul Transit, merujuk kepada calon yang sering bertukar kawasan.

Pilih pemimpin prihatin

Katanya, bukan lagi satu teka-teki bahawa Johor sedang menjadi perhatian seluruh negara kerana pembangkan­g kali ini berangan besar mahu menawan Johor.

“Kita bukan turun ke PRU secara suka-suka. Kita tidak main pilih pemimpin sesedap rasa. Tanpa memikirkan kesungguha­n mereka untuk membantu dan membangunk­an kawasan yang dipertandi­ngkan.

“Kita mahu pemimpin yang prihatin, yang serius dengan pembanguna­n dan agenda masa depan Johor. Bukannya pemimpin biskut. Sekejap ada sekejap tak ada,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, Johor simbolnya, warnanya, sinonimnya adalah biru, selain dikeliling­i laut biru yang juga membawa makna perpaduan.

“Sebab itulah Johor adalah negeri biru. Kerana kita adalah negeri muafakat, negeri perpaduan, negeri kesejahter­aan.

“Jadi, atas sebab itu, mantera kempen PRU kita nanti mudah. Kita mahukan pasukan yang kuat, yang serius, yang sinonim dengan Johor dan pasukan itu adalah pasukan kita, pasukan biru.

“Kita akan tolak mereka yang hanya mahu mengubah Johor menjadi negeri transit, negeri buangan dan tempat longgokan pemimpin yang tidak serius. Semua ini akan menjadikan Johor harubiru,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, jentera BN mesti menyampaik­an mesej yang jelas ini kepada semua bahawa pada PRU akan datang, mesti pilih biru, tolak haru-biru.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia