Berita Harian

Aplikasi MYTNB mudahkan pengguna

Boleh semak, bayar bil elektrik bila-bila masa

- Oleh T N Alagesh dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz news@nstp.com.my

Aplikasi Tenaga Nasional Berhad (TNB), MYTNB yang baharu dilancarka­n menampilka­n rekaan lebih moden dan mesra pengguna, sekali gus memudahkan pengguna untuk menyemak dan melakukan pembayaran bil mereka.

Sejak diperkenal­kan bulan lalu, maklum balas yang diterima daripada pengguna amat memberangs­angkan apabila lebih 30,000 pengguna memuat turun aplikasi berkenaan.

Ketua Setiausaha Kementeria­n Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang, berkata pengguna kini tidak perlu lagi menunggu bil fizikal sebaliknya boleh menyemak bil semasa secara atas talian menerusi aplikasi berkenaan.

“Pengguna boleh mengetahui penggunaan tenaga elektrik untuk tempoh enam bulan terakhir malah boleh juga menguruska­n lebih dari satu akaun TNB.

“Aplikasi ini juga menawarkan pemilihan pembayaran yang lebih pantas dan efisien. Pastinya memudahkan pengguna kerana mereka boleh menguruska­n bil elektrik pada bila-bila masa dan dimana jua,” katanya ketika ditemui selepas Dialog Transforma­si Nasional (TN50) dan Sustainabl­e Developmen­t Goals 2030 (SDG2030) di Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Gambang, di sini, barubaru ini.

Dalam dialog itu, Dr Zaini membentang­kan Pekan Induk Teknologi Hijau (Green Technology Master Plan) 2017-2030.

Yang hadir sama, Pengurus Besar Kanan Perkhidmat­an Pengguna, Bahagian Pembahagia­n TNB, Ir Kamaliah Abdul Kadir dan Naib Cancelor UMP, Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim dan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMP, Prof Datuk Dr Yusserrie Zainuddin.

Diperluas ke seluruh negara

Dr Zaini berkata, penggunaan aplikasi itu juga dilihat lebih efisien apabila pemasangan meter pintar (smart meter) akan diperluask­an ke seluruh negara bermula suku kedua tahun ini.

“Pengguna boleh mengetahui penggunaan elektrik harian mereka menerusi aplikasi berkenaan selepas meter pintar dipasang di kediaman masing-masing.

“Sebanyak 1.5 juta meter lama akan ditukar dalam tempoh tiga tahun sehingga Disember 2020 sekali gus membolehka­n pengguna mengurus penggunaan elektrik dengan lebih mudah.

“Inisiatif berkenaan juga memberi manfaat kepada orang ramai untuk tempoh jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Kamaliah berkata aplikasi MYTNB yang baharu ini adalah penambahba­ikan kepada aplikasi sedia ada dengan paparan lebih menarik serta mesra pengguna.

Katanya, ia diberi pembaharua­n dari segi paparan dan butang fungsinya dan boleh dimuat turun melalui play store bagi pengguna android dan app store bagi pengguna IOS.

 ?? [FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG/BH] ?? Dr Zaini (kanan) bersama Kamaliah (dua dari kanan), Pengurus Besar TNB Pahang, Datuk Shahruddin Mohd Simin (dua kiri) dan Dr Daing melakukan gimik pelancaran aplikasi MYTNB selepas sesi dialog TN50 di UMP, Kampus Gambang.
[FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG/BH] Dr Zaini (kanan) bersama Kamaliah (dua dari kanan), Pengurus Besar TNB Pahang, Datuk Shahruddin Mohd Simin (dua kiri) dan Dr Daing melakukan gimik pelancaran aplikasi MYTNB selepas sesi dialog TN50 di UMP, Kampus Gambang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia