Berita Harian

Program Dwibahasa berjaya tarik minat kuasai bahasa Inggeris

Guru harap program diperkasa setiap tahun tingkat keyakinan dalam diri murid

- Oleh Zahratulha­yat Mat Arif

Program Dwibahasa (DLP) dan Program Imersif Tinggi (HIP), yang diperkenal­kan oleh Kementeria­n Pendidikan berjaya menanam minat dan kesedaran murid mengenai kepentinga­n penggunaan bahasa Inggeris.

Justeru, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong, Ahmad Kamari Salleh, berharap program seperti itu diperkasa setiap tahun kerana ia membantu meningkatk­an penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid, sekali gus meningkatk­an keyakinan dalam diri mereka.

“Program ini juga unik kerana mengiktira­f bahasa Inggeris dan memberi kuasa kepada pihak sekolah dalam merancang dan melaksanak­an pelbagai program dengan kapasiti tersendiri.

Murid berucap dalam bahasa Inggeris

“Seperti di sini, murid akan berucap dalam bahasa berkenaan di hadapan guru dan murid lain pada waktu perhimpuna­n sekolah.

“Kejayaan program ini adalah hasil usaha guru, ibu bapa dan komuniti, yang secara langsung terbabit dalam pelbagai aktiviti di sekolah bagi membantu mewujudkan minat berbahasa Inggeris dalam kalangan murid,” katanya.

Bapa pelajar, Kamal Azzaynee Mustafa, 36, berkata, penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran membina keyakinan kepada murid untuk bertutur dalam bahasa itu.

“Program ini menambah penguasaan bahasa Inggeris dalam diri mereka, tetapi pada masa sama tidak menolak bahasa Melayu, Mandarin atau Tamil.

“Ini kerana bahasa Inggeris akan selalu menjadi bahasa kedua kepada bahasa Melayu, Mandarin atau Tamil,” katanya.

Murid Tahun Enam, Firzana Amani Amin Sabri, 12, berkata proses pengajaran dan pembelajar­an serta aktiviti yang dijalankan dalam bilik darjah adalah lebih menyeronok­kan dan interaktif.

“Setiap hari, saya dapat mengetahui dan menguasai satu perkataan baharu daripada bahasa Inggeris dan ini akan membantu saya untuk menambah pengetahua­n serta perbendaha­raan kata saya,” katanya.

Turut berkongsi minat yang sama ialah murid Tahun Lima, Muhd Amir Akmal Kamarul Baharin, 11, yang menggambar­kan penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajar­an adalah lebih senang dan mudah untuk difahami.

“Saya suka bahasa Inggeris dan dengan adanya program ini, saya tahu, suatu hari nanti, penguasaan dan kefasihan saya dalam bahasa ini akan membantu saya untuk mendapat kerja,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia