Berita Harian

Mana stadium di Bukit Merbau?

-

Pasir Puteh: Pembinaan kompleks sukan termasuk stadium bola sepak yang dijanjikan kerajaan negeri lebih enam tahun lalu di Kampung Bukit Merbau, Selising, di sini, gagal ditunaikan malah kawasan itu kini dipenuhi dengan semak samun.

Kompleks sukan termasuk sebuah stadium yang dijanjikan dengan kemudahan 40,000 tempat duduk, sepatutnya dibina di atas tanah seluas 49.2 hektar dengan kos RM159 juta.

Janji yang tidak ditunaikan itu mengecewak­an peminat sukan tempatan selain lebih 2,000 penduduk kawasan sekitar apabila terus menunggu sebuah pusat sukan yang akan memberi kemudahan kepada penduduk menjalanka­n aktiviti sukan dan membangunk­an kawasan itu.

Tinjauan NSTP di kawasan itu mendapati tanah seluas 49.2 hektar yang berdekatan rumah penduduk terbiar dan menjadi kawasan ternakan serta makhluk perosak.

Pengerusi Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung Persekutua­n (JKKKP) Bukit Merbau, Mat Alias Hussin, berkata kompleks sukan yang dijanjikan itu hingga kini masih tiada sebarang pembanguna­n dan hanya tinggal batu asas.

Jadi kawasan terbiar

“Kawasan berkenaan yang berada berdekatan penempatan dipenuhi hutan, semak samun dan menjadi kawasan ternakan penduduk serta binatang liar termasuk babi hutan.

“Janji (kerajaan negeri) dibuat lebih enam tahun lalu dan kalau ikutkan proses pembinaan stadium sepatutnya sudah siap, namun hingga kini kawasan itu terus terbiar,” katanya, di sini.

Menurutnya, penduduk di kawasan itu berharap kerajaan negeri menunaikan janji mereka untuk membina stadium memandangk­an lebih enam tahun lalu mereka (kerajaan negeri) datang ke lokasi meletakkan batu asas.

Penduduk, Mohd Nawi Abdul Ghani, 55, berkata penduduk di kampung itu kecewa kerana janji yang dibuat tidak ditunaikan.

Katanya, ketika kerajaan negeri mengumumka­n mahu membangunk­an kawasan itu, penduduk kampung gembira kerana sebuah perkampung­an terpencil bakal dibangunka­n yang akan memberi manfaat dan meningkatk­an ekonomi penduduk.

“Kami terus menunggu untuk melihat sebuah stadium, namun tiada langsung pembanguna­n dibuat dan tapak dijanjikan itu masih kosong.

“Besar harapan masyarakat di kawasan ini dan Kelantan mahu melihat sebuah stadium baharu memandangk­an Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu sangat jauh dari kampung kami,” katanya.

Rakyat terus kecewa

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman, berkata janji yang dibuat oleh kerajaan negeri itu perlu ditunaikan kerana rakyat Kelantan berharap memiliki sebuah stadium baharu.

“Hingga kini janji pembinaan (stadium) langsung tidak dibuat dan lokasi itu masih kosong menyebabka­n rakyat kecewa.

“Mereka (kerajaan negeri) perlu minta maaf dengan penduduk Kelantan kerana hanya pandai berjanji tetapi tidak ditunaikan,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, masyarakat perlu membuka mata dan pandai menilai untuk memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia