Berita Harian

Bangunan IPK berusia lebih 40 tahun diganti: TPM

-

Johor Bahru: Kerajaan akan menggantik­an bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di seluruh negara yang sudah berusia bagi memastikan ia tidak lebih 40 tahun pada 2021, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan fungsi bangunan tetap utuh dan tidak akan mengganggu operasi harian pelbagai unit dan jabatan di bawah bangunan pentadbira­n sama.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pembiayaan untuk penggantia­n bangunan itu belum dimuktamad­kan kerana masih dalam proses mengenal pasti bangunan utama Ibu Pejabat Polis yang perlu diganti.

Bagaimanap­un, beliau berkata, peruntukan itu akan datang daripada kementeria­nnya termasuk menjalanka­n kaedah pertukaran tanah untuk projek yang memerlukan ruang yang lebih besar.

“Ada beberapa Ibu Pejabat Polis di seluruh negara harus diganti, namun peruntukan untuk pembanguna­n adalah terhad.

“Jadi, kita mengambil beberapa langkah termasuk kaedah pertukaran tanah dan ini kita lakukan kerana kita mahu bangunan pejabat polis di seluruh negara pada 2021, 100 peratus berusia tidak lebih 40 tahun.

“Saya menyedari bahawa ada bangunan ini yang berusia lebih 53 tahun, maka kaedah yang saya sebutkan akan dijalankan,” katanya berucap pada majlis Perasmian Bangunan Tambahan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor (Fasa 1) di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (START) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Tingkat moral, semangat

Projek bangunan tambahan itu membabitka­n kos pembanguna­n sebanyak RM76.2 juta dan kerja pembinaan bermula pada Februari 2015 sebelum fasa pertama itu siap semalam.

Pembanguna­n fasa pertama itu terdiri daripada pembinaan lima blok bangunan pentadbira­n yang mana bangunan utama adalah blok pejabat dan ruang pentadbira­n 12 tingkat dengan empat tingkat tempat letak kereta.

Ahmad Zahid berkata, dengan bangunan baharu itu diharapkan dapat menaikkan semangat dan motivasi semua pegawai dan anggota Polis Kontinjen Johor.

Dalam perkembang­an berkaitan, Ahmad Zahid berkata, Kementeria­n Dalam Negeri (KDN) meluluskan peruntukan RM22 juta bagi menambah baik semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), balai polis dan lokap di seluruh Johor.

Katanya, peruntukan itu diluluskan bagi membolehka­n kerja naik taraf itu dilakukan secepat mungkin. Daripada keseluruha­n peruntukan itu, RM1.6 juta dikhususka­n untuk menambah baik lokap di seluruh negeri.

“Lokap kita mesti berada dalam standard dan piawaian Suruhanjay­a Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan antara bangsa,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mendengar taklimat pengurusan disampaika­n Mohd Khalil di Bilik Mesyuarat Margosa IPK Johor selepas membuat pemeriksaa­n Perbarisan Kawalan Kehormatan di Dataran Kem Komandan, IPK Johor.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia