Berita Harian

RMR1M penuhi impian miliki kediaman sendiri

-

Pasir Puteh: “Bagaikan mimpi apabila dipilih menerima sebuah kediaman menerusi Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) yang akan dibina tidak lama lagi di Kampung Ketik Nangka, Semerak, di sini.

“Lebih 10 tahun, saya bersama isteri dan tiga anak kami menyewa sebuah rumah di Kota Bharu sebelum membuat permohonan untuk memiliki rumah RMR1M yang diluluskan bulan lalu,” kata Aik Yang Keleu, 48.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Penerima RMR1M dan Penyerahan Sijil Kelayakan Subsidi di Dewan Uthmaniyah, di sini, semalam.

Seramai 67 ketua keluarga menerima Sijil Kelayakan Subsidi berjumlah RM20,000 bagi sebuah rumah bernilai RM65,000 yang disampaika­n Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Impian jadi kenyataan

Aik yang bekerja sebagai mekanik kereta, berkata beliau dan isteri, Kepian Ehdam, 45, gembira kerana impian untuk memiliki sebuah rumah akan menjadi kenyataan.

“Saya tidak mampu membina rumah atas tanah sendiri di Kampung Ketik Nangka, Semerak kerana tiada wang.

“Namun, selepas lebih setahun menunggu, saya dimaklumka­n permohonan memiliki rumah RMR1M lulus dan akan menjadi kenyataan,” katanya.

Suri rumah, Zubaidah Abd Rahim, 28, turut tidak menyangka dia dan suami, Naazrul Zakaria, 38, serta dua anak mereka akan memiliki rumah sendiri dalam masa terdekat.

“Suami hanya bekerja sebagai buruh dan kami tidak mempunyai wang untuk membina kediaman sendiri,” katanya.

“Selepas dimaklumka­n akan mendapat sebuah rumah bersudsidi daripada kerajaan, kami gembira dan bersyukur kerana kerajaan sentiasa prihatin kepada nasib rakyat,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia