Berita Harian

Struktur kediaman bimbangkan pakar

-

Georgetown: Pakar kejurutera­an dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melahirkan kebimbanga­n terhadap projek perumahan strata mampu milik Sungai Ara di sini, yang terletak berhampira­n kawasan lereng bukit.

Ketika melihat gambaran artis mengenai binaan bangunan itu, Pensyarah Kejurutera­an Geoteknik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Fauziah Ahmad, berkata struktur itu membimbang­kan kerana terletak berhampira­n perumahan sedia ada.

Tinjauan NSTP mendapati, tapak untuk pembinaan kediaman bertingkat itu hanya mengambil masa kurang satu minit untuk didekati dari kawasan perumahan berdekatan.

“Kami perlu menyemak laporan tanah kawasan itu bersama reka bentuk yang akan digunakan untuk cerun di situ.

Gesa analisis cerun

“Pemaju perlu melakukan analisis serta teknik penstabila­n cerun yang akan dilaksanak­an untuk projek itu.

“Sekiranya mereka dapat memastikan pembinaan dilakukan secara berperingk­at dan paras platform serendah bangunan yang sedia ada, ia dilihat sebagai sesuatu yang bagus, namun mesti ada zon penampan di antara bangunan bertingkat tinggi dengan rumah yang sedia ada,” katanya.

Berhubung dakwaan ada sungai berhampira­n tapak projek terbabit, Fauziah berkata, jika benar keadaan itu, pemaju mesti menyediaka­n sistem saliran yang baik bagi mengatasi aliran air dari bahagian atas.

“Ini untuk memastikan kestabilan cerun dan paling penting keselamata­n penduduk di sana,” katanya.

Sementara itu, Pakar Pengurusan Tanah Runtuh dan Bencana, Prof Dr Habibah Lateh, turut menyuaraka­n kebimbanga­n sama dan menambah bahawa pemaju mesti berhati-hati apabila membina tembok penahan di tapak terbabit.

Beliau berkata, penyelidik­an mendalam perlu dilakukan untuk mengenal pasti jenis tanah di kawasan bukit itu.

Katanya, pakar alam sekitar juga perlu melihat banyak aspek lain, termasuk corak hujan di kawasan itu bagi memastikan aliran air turun dapat mengalir dengan berkesan.

“Secara jujur, saya tidak dapat bercakap tanpa laporan lengkap tentang projek itu, tetapi tanah kawasan cerun di Pulau Pinang agak berbeza dari tempat lain di Malaysia, kerana ia terdiri daripada lumpur yang bercampur dengan batu.

“Mereka perlu berhati-hati ketika membina bangunan dan mesti menggunaka­n bahan yang betul untuk penstabila­n cerun, bagi memastikan tidak ada sebarang kegagalan cerun,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mendedahka­n sepenuhnya butiran projek terbabit.

Aduan penduduk

“Susulan aduan penduduk, CAP melawat kawasan dan jelas ia kelihatan tidak selamat. Bagaimanap­un, kami ingin mengetahui lebih mendalam projek itu sebelum memberikan komen lanjut.

“Difahamkan semua pihak, termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah memberikan kelulusan mereka, tetapi penduduk di sana tetap merasa terganggu kerana dibina terlalu hampir dengan perumahan sedia ada.

“CAP tidak pernah memihak kepada pembanguna­n di lereng bukit. Kami akan menulis surat rasmi kepada pihak berkuasa supaya ia dapat dijelaskan kepada orang ramai secepat mungkin,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia