Tiga kesan buruk jika mansuh GST
Kenaikan cukai, peningkatan defisit, pengurangan perbelanjaan untuk rakyat antara risiko
Malaysia bakal berdepan tiga kesan buruk jika pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan, sekali gus akan membebankan rakyat pada masa hadapan.
Tiga kesan berkenaan termasuk kenaikan cukai, meningkatkan kadar hutang negara (defisit) atau terpaksa mengurangkan perbelanjaan untuk kepentingan rakyat dan pembangunan negara.
Ahli Ekonomi Kanan (Kemiskinan dan Ekuiti) Bank Dunia, Kenneth Simler, berkata jika pelaksanaan GST dimansuhkan, lebih membimbangkan ketiga-tiga langkah itu terpaksa dilakukan untuk memastikan hasil negara tidak terjejas.
“Sama ada realistik atau tidak (langkah berkenaan) ia mungkin satu langkah drastik walaupun sebelum ini ia tidak pernah dibuat.
Sumber pendapatan negara
“Memang GST hanya dilaksanakan tiga tahun lalu di Malaysia, tetapi apa yang dapat dipastikan daripada pelaksanaannya, ia memberi sumber pendapatan kepada negara ini,” katanya selepas sesi panel perbincangan dan ulasan pembentangan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai ekonomi Malaysia, di Kuala Lumpur, hari ini.
Hadir sama pada sesi itu, Pengarah Jabatan Dasar Monetari BNM, Dr Norhana Endut; Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Tan Sri Dr Mohd Munir Majid; Ketua Penyelidik RAM Rating Services Bhd, Kristina Fong dan Ketua Penyelidik Serantau Asia Tenggara Standard Chartered Bank Singapura, Edward Lee.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Lee berkata, ringgit dijangka lebih kukuh antara RM3.70 hingga RM3.75 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada separuh kedua tahun ini.
“Berdasarkan anggaran kami, dolar AS masih terlebih nilai dan ringgit pula antara mata wang di rantau ini yang berada di bawah nilai.
Kesan minimum
“Bagaimanapun, sukar untuk menentukan sama ada ringgit berbanding dolar AS boleh mencapai nilai saksama ataupun tidak,” katanya.
Mengulas mengenai kebimbangan ‘perang perdagangan’ antara AS dan China, beliau berkata, Malaysia hanya mengalami kesan tidak langsung dan amat minimum.
“Malah, Malaysia beroleh manfaat positif kesan daripada isu itu kerana negara ini adalah antara pengeksport utama untuk dua kuasa dunia itu.
“Jadi, ia menunjukkan Malaysia mungkin mendapat peluang untuk membekalkan barangan untuk kedua-dua negara,” katanya.
Selain itu, beliau menjelaskan jika tarif disasarkan hanya kepada China, mungkin ada ada keperluan AS untuk mencari kapasiti berbeza dan ia memberi kesan positif untuk Malaysia.