RM50J bantu PKS Bumiputera kukuh e-dagang
Kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi melaksanakan inisiatif WIRA edagang Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) kepada 10,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera dalam tempoh tiga tahun.
Ia sejajar komitmen agenda agenda memperkasakan usahawan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera khususnya dalam bidang pendigitalan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata inisiatif yang akan diuruskan bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), SME Corp dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) ini bertujuan menglobalkan syarikat Bumiputera berasaskan e-dagang.
“Ekonomi digital adalah agenda penting negara terutama kepada PKS Bumiputera yang juga penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 40 peratus.
Ambil peluang inovasi
“Ekonomi digital kini menjadi teras utama dalam pembangunan masa hadapan Bumiputera. Dalam menghadapi arus perubahan, kita harus mengambil peluang untuk berinovasi, menyesuaikan diri dan perniagaan mengikut kehendak pasaran.
“Jika sekarang perniagaan hanya tertumpu kepada pasaran tempatan, sudah tiba masanya kembangkan sayap memasuki pasaran antarabangsa,” katanya pada Himpunan Usahawan Bumiputera (HUB) 2018 anjuran SME Corp di Kuala Lumpur, semalam.
Najib berkata, platform digital DFTZ adalah landasan betul bagi membolehkan usahawan menyertai dan meluaskan perniagaan merentasi sempadan.
Katanya, kerajaan menyasarkan 10,000 syarikat PKS menyertai platform DFTZ menjelang hujung tahun ini.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sehingga ini kerajaan sudah mengagihkan RM77 bilion melalui semua agensi dalam pembangunan ekonomi Bumiputera.
“Antaranya adalah dana Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak RM19 bilion, TEKUN Malaysia sebanyak RM5 bilion dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) sebanyak RM3 bilion,” katanya.