IOI Properties wujud platform komuniti tingkat khidmat
IOI Properties Group Bhd (IOIPG) mewujudkan satu platform untuk pembabitan komuniti secara atas talian menerusi aplikasi ‘IOI Community’.
Inisiatif berkenaan adalah selaras dengan fokus Kumpulan IOI dalam memupuk hubungan komuniti yang mampan dan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk bekerja, mendiami dan beriadah (Stay, Work and Play).
Aplikasi IOI Community akan meningkatkan komunikasi dengan pelanggan di samping memanfaatkan maklum balas pelanggan dalam masa sebenar.
Ia bertujuan memberikan perkhidmatan pelanggan yang cepat dan menggunakan analisis data untuk terus meningkatkan mutu penyampaian produk dan perkhidmatan.
Kekal relevan
Pengarah Eksekutif IOIPG, Lee Yoke Har, berkata ia adalah keperluan untuk syarikat maju ke hadapan dan kekal relevan selaras perkembangan industri 4.0, selain penggunaan teknologi hartanah atau Proptech yang semakin meningkat dalam kehidupan seharian.
“Matlamat utama kami adalah untuk memberikan lebih kemudahan, lebih pantas dan lebih banyak komunikasi secara peribadi serta platform penyampaian perkhidmatan yang mampu memenuhi gaya hidup masyarakat kota yang aktif,” katanya dalam satu kenyataan barubaru ini.
Menerusi pembabitan aktif IOI Community dan kakitangan, IOIPG mengguna pakai teknologi dalam mengurus operasi dan hubungan pelanggannya.
Aplikasi IOI Community membolehkan komunikasi dua hala antara pihak pengurusan hartanah penduduk.
Antara ciri-ciri yang terdapat pada aplikasi tersebut termasuk e-bil, pemeriksaan status bayaran penyelenggaraan, tempahan kemudahan, pengurusan pelawat, laporan kecacatan, notifikasi auto untuk pengumuman, e-perpustakaan serta senarai penyedia perkhidmatan seperti tukang paip, kontraktor penyaman udara dan renovasi.
Guna aplikasi
Aplikasi ini kini boleh digunakan untuk komuniti Clio Residences, Sierra 6 dan Almyra Residences.
Katanya lagi, IOIPG merancang untuk mengguna pakai aplikasi ini untuk komuniti Conezion, N‘dira dan Sky Condominium dalam tempoh dua bulan akan datang.
“Penduduk menghargai aplikasi IOI Community kerana mereka boleh mendapatkan maklumat terkini, memeriksa status akaun mereka dan memaklumkan ketidaksempurnaan unit mereka walaupun selepas waktu perniagaan.
“Ia amat berguna bagi mereka yang sentiasa sibuk dan tiada masa untuk melakukan urusan tersebut semasa waktu pejabat,” katanya.
Aplikasi IOI Community boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store dan Apple App Store.