Berita Harian

Kisah cinta yang hilang

James Blunt kongsi rasa, pengalaman suka duka hidup dalam karya

- Oleh Fatin Farhana Ariffin fatin.farhana@bh.com.my

Mula dikenali di seluruh dunia kira-kira 13 tahun lalu menerusi lagu berjudul You’re Beautiful, petikan album sulungnya,

Back to Bedlam (2004), James Blunt terus mempertaru­hkan karya berkisar mengenai cinta untuk dikongsi bersama penggemar muzik.

Selepas empat album, bintang berusia 44 tahun dari Hampshire, England, ini terus percaya dengan tema kasih sayang untuk dipersemba­hkan kepada peminatnya, seperti diluahkan menerusi buah tangan terbaru, The Afterlove.

Album kelima beliau itu dikeluarka­n kira-kira setahun lalu.

Saya berada di atas pentas berkongsi mengenai ketakutan dan kelemahan diri

“Secara peribadi, The Afterlove, album sangat istimewa. Saya mengambil masa dua tahun untuk menulis lagu dalam album ini. Banyak yang terjadi dalam hidup saya, sama ada yang menarik mahupun tragik. Semuanya saya jadikan sebagai inspirasi.

“Kebanyakan naskhah dihasilkan bagaimanap­un adalah mengenai idea yang sama, iaitu berkaitan cinta yang berlalu pergi. Bagaimana kita menghadapi kehidupan selepas kehilangan cinta, tidak kiralah sama ada kerana putus hubungan atau disebabkan kematian. Juga, ia mengenai fasa selepas ketagihan, seperti alkohol dan dadah,” katanya kepada B*POP ketika berada di ibu kota, baru-baru ini, bagi menjayakan persembaha­n di sini.

Kerjasama insan ternama

Menerusi album yang memuatkan 10 lagu itu, Blunt bekerjasam­a dengan nama popular seperti Ed Sheeran,

Ryan Tedder daripada Onerepubli­c dan Johnny Mcdaid (Snow Patrol).

Bekas tentera ini mengaku cukup seronok dapat bekerjasam­a dengan pemuzik yang mempunyai rasa sama seperti dirinya.

“Seperti Ryan (Tedder), kami mempunyai minat yang mendalam terhadap muzik. Saya pula enggan menghasilk­an muzik seperti apa yang disuruh oleh syarikat rakaman, sebaliknya mahu bersuka ria dengan apa yang saya lakukan. Ryan banyak memberikan sokongan dan bersama-sama, kami menulis sesuatu yang orang suka dengar.

“Ketika kami menulis lagu di sebuah bilik hotel di London, ada seseorang mengetuk pintu, menyuruh kami diam. Dari situ kami tahu, kami menghasilk­an sesuatu yang bagus,” katanya.

Lelaki romantik

Sementara itu, sewaktu mengimbas kembali lagu yang mempopular­kan namanya, You’re Beautiful, Blunt mendedahka­n, dendangan yang kerap dimainkan pada majlis perkahwina­n itu bukanlah karya yang romantik.

“Saya tahu, ramai yang mengatakan You’re Beautiful ialah lagu romantik. Ia tidaklah begitu. Sebaliknya ia menceritak­an mengenai seorang lelaki yang sedang berada di bawah pengaruh dadah, di stesen kereta api bawah tanah, mengendap teman wanita orang lain apabila teman lelakinya berada di depannya.

“Orang ramai selalu berkata, saya lelaki yang romantik, tetapi tidak sebenarnya. Orang ramai menghargai lagu yang ditulis berdasarka­n perasaan seseorang, karya yang dihasilkan mengenai kehidupan sebenar. Kita boleh mengaitkan diri sendiri dengan karya sedemikian.

“Itulah juga yang saya lakukan. Saya berada di atas pentas berkongsi mengenai ketakutan dan kelemahan diri,” katanya.

Tak rasa diri unik

Berada dalam industri seni hampir 15 tahun lama, Blunt akui bukan mudah untuknya kekal relevan pada era ini.

Katanya lagi, beliau juga bukan penyanyi yang unik. Buktinya, bukan dirinya seorang menggunaka­n James sebagai nama komersial.

“James nama yang sangat biasa. Saya sendiri berasakan nama saya membosanka­n. Namun, apa yang saya sampaikan menerusi nyanyian adalah pengalaman sebenar.

Saya menulis apa yang pernah saya lalui.

“Bagi saya, muzik bukan pertanding­an dan kami sesama pemuzik juga tidak bersaing. Pihak yang bersaing hanya syarikat rakaman. Siapa lebih banyak menjual rekod.

“Jujurnya setakat ini, saya gembira dengan apa yang saya raih,” katanya yang menyaksika­n album sulungnya terjual lebih 11 juta unit di seluruh dunia.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ?? Sekitar Konsert The Afterlove World Tour di ibu negara, baru-baru ini.
Sekitar Konsert The Afterlove World Tour di ibu negara, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia