Berita Harian

Hati-hati guna ungkapan ketuhanan: Dr Asri

Berbahaya kepada akidah jika diucap dalam keadaan sedar

- Oleh Nazura Ngah

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menasihati umat Islam supaya berhati-hati dalam ungkapan berkaitan isu ketuhanan kerana ia berbahaya kepada akidah jika ucapan itu dibuat dalam keadaan sedar.

Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak, kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya itu dipercayai merujuk kepada ucapan Ahli Parlimen Sepang dari Parti Amanah Negara (PAN), Hanipa Maidin di Dewan Rakyat, kelmarin.

Tegas Mohd Asri, ungkapan; ‘jika saya Tuhan, saya akan lakukan begini...’, secara langsung dan tidak langsung merendahka­n penciptaan Tuhan dan menafikan hikmah ciptaan-nya.

Segera bertaubat

“Seakan-akan apa yang Tuhan lakukan tidak tepat ataupun salah ataupun di sana ada cara yang lebih baik. Ini sangat bahaya kepada akidah yang mengungkap­nya jika dia sedar apa yang diucapkan. Hendaklah dia bertaubat daripada ucapan itu,” katanya.

Kelmarin, Dewan Rakyat menjadi panas ekoran pertikaman lidah antara Hanipa dan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (Bn-baling) bersama Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (Paskuala Nerus).

Ungkapan, ‘kalau saya Tuhan’, itu timbul selepas Abdul Azeez menegur Hanipa dengan mendakwa bekas pemimpin PAS itu berlagak seperti Tuhan kerana boleh menjangkak­an Pakatan Harapan akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU-14).

Hanipa yang juga seorang peguam berkata: “Kalau saya Tuhan, dari awal saya tak jadikan kamu, menyusahka­n orang saja. Sudah lama saya hapuskan kamu (Abdul Azeez).

“Sebab saya tak Tuhan, Tuhan jadikan juga orang macam kamu,” katanya lantang sambil menepuk dada kiri dan menuding ke arah Abdul Azeez.

Mohd Asri berkata, tidak boleh seseorang Muslim berkata, “jika saya Tuhan...”, melainkan diikuti dengan ungkapan yang menunjukka­n keagungan Tuhan seperti; “jika awak Tuhan, tak mungkin awak berjalan macam manusia”.

Beliau berkata: “Tuhan mempunyai hikmat atas segala penciptaan-nya. Dia juga akan mengadili segala kejadian dan peristiwa di dunia.

“Kerosakan dunia ini disebabkan tangan manusia bukan kerana kesilapan ciptaan Tuhan. Kita beriman segala yang Tuhan ciptakan ada rahsia zahir dan batin dan Dia Allah Maha Mengetahui segala yang zahir dan yang batin”.

Ini sangat bahaya kepada akidah yang mengungkap­nya jika dia sedar apa yang diucapkan. Hendaklah dia bertaubat daripada ucapan itu” Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia