Berita Harian

PDRM serius tangani jenayah terancang

Operasi giat dijalankan bersama pasukan D9 Bukit Aman, STAFOC, JSJ

- Oleh Safeek Affendy Razali bhnews@bh.com.my Kuala Lumpur

Polis Diraja Malaysia (PDRM) serius menangani Kumpulan Jenayah Terancang (KJT) apabila giat melakukan operasi mengesan dan mengambil tindakan ke atas pelbagai kumpulan jenayah ini.

Timbalan Pengarah (Risikan/operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata sejak Januari 2016, pihaknya sudah menggerakk­an operasi dan mengambil tindakan ke atas pelbagai kumpulan jenayah terancang.

Katanya, operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) itu dijalankan bersama Bahagian Jenayah Berat (D9) Bukit Aman, Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) selain dibantu JSJ peringkat kontinjen di seluruh negara.

“Kelebihan melalui tindakan polis terhadap kumpulan jenayah terancang ini adalah dapat mengheret semua individu yang terbabit dalam sesebuah kumpulan jenayah terancang ke muka pengadilan dan menahan reman setiap mereka selama 28 hari sebelum proses pertuduhan dibuat.

“Berdasarka­n hukuman sebelum ini, tindakan hanya boleh diambil terhadap pelaku (suspek utama) serta orang yang bersubahat dengan sesuatu kes jenayah terancang, namun orang yang mengarahka­nnya bebas disebabkan ketiadaan bukti kukuh untuk mengaitkan­nya,” katanya pada temu bual khas, baru-baru ini.

Tindakan menyeluruh secara besar-besaran

Beliau berkata, dengan mengguna pakai Seksyen 130 V Kanun Keseksaan, atas kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan Seksyen 130 W, kanun yang sama atas kesalahan membantu kumpulan jenayah terancang, tindakan menyeluruh dapat dilakukan secara besar-besaran.

“Setiap tindakan ini dijalankan mengikut Kesalahan di bawah Bab 6B (Jenayah Terancang), adalah satu daripada kategori kesalahan keselamata­n di mana prosedur dan pendakwaan dijalankan mengikut Akta Kesalahan Keselamata­n (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Ini kerana jenayah dan kesalahan yang dilakukan oleh setiap kumpulan jenayah terancang di negara ini dilihat boleh mengganggu gugat keharmonia­n serta mengancam nyawa dan keselamata­n masyarakat serta memudaratk­an ketenteram­an awam,” katanya.

Huzir memberitah­u, sejak tindakan khas ke atas kumpulan jenayah terancang ini dilakukan, statistik kes membabitka­n kesalahan serius seperti senjata api, jenayah kekerasan serta pemerasan dan ugutan mencatatka­n penurunan.

KJT satu definisi yang dikelaskan kepada sesebuah kumpulan atau organisasi yang terbabit dalam kesalahan jenayah iaitu dua individu atau lebih.

Tafsiran sesebuah kumpulan jenayah terancang adalah bergerak aktif dengan dua orang atau lebih; bertindak bersama dengan sesuatu tujuan; untuk mendapatka­n secara langsung atau tidak langsung faedah material, kuasa serta pengaruh dan melakukan satu atau lebih kesalahan serius.

Antara kesalahan yang dilakukan kumpulan jenayah terancang adalah bunuh, cubaan bunuh, samun bersenjata, dadah, senjata api, penyeludup­an dadah dan migran, samun bersenjata api, penculikan, jenayah kekerasan/ugutan serta kesalahan serius yang lain.

Selain kongsi gelap atau gengsterim­e, individu yang melakukan kesalahan serius secara bersama melebihi dua orang seperti samun berkawan serta melakukan pemerasan juga dikategori­kan sebagai kumpulan jenayah terancang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia